SYM Ada Model Baharu Nak Dilancar Bulan Depan, Adakah SYM Husky ADV 150?

TERKINI

2/20/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Taiwan, SYM memperkenalkan skuter bergaya 'ADV', SYM Husky ADV 150 di peringkat global di Eicma 2021 dan sejak itu, kehadirannya termasuk di Malaysia menjadi antara yang dinanti-nantikan.

Tiba dengan rekaan yang cukup memikat mata dan ranggi, kehadiran skuter berkenaan pernah beberapa kali dimainkan media namun ia kekal sebagai khabar angin.

Tetapi berdasarkan berdasarkan informasi terbaharu yang diperoleh, ada perkara menarik buat sesiapa yang menantikan kehadirannya di Malaysia.

Berpandukan kepada maklumat yang diperoleh, pihak MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) dijadualkan akan melancarkan produk baharunya daripada jenama SYM pada bulan depan.

Kepada yang tidak tahu, MForce adalah syarikat yang menguruskan pengeluaran dan pengedaran motosikal SYM di Malaysia.

Dan lebih tepat, majlis berkenaan dijadual berlangsung pada 20 Mac depan menerusi jemputan yang disebarkan kepada pihak media.

Sekalipun tidak menjelaskan dengan tepat mengenai model yang akan dilancarkan, menurut jangkaan, ia adalah model yang dinanti-nantikan iaitu SYM Husky ADV 150.

Sebagai antara pencabar kepada model popular Honda ADV 160, mengulas trenkuasa, SYM Husky ADV 150 dijana enjin 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, SOHC, Penyejuk Cecair.

Kuasa yang dihasilkan ialah 14.4 Hp pada 7,500 rpm dan tork 14.5 Nm pada 6,000 rpm.

Dan apa yang lebih menarik, seperti kebanyakan produk daripada MForce, SYM Husky ADV 150 dikatakan bakal tiba pada harga jualan menarik iaitu bawak RM 10k.

Selain SYM Husky ADV 150, rakan media tempatan turut menjangkakan SYM akan melancarkan beberapa lagi model pada acara sama.

Jadi adakah kita akan dapat melihat sebuah model kapcai terbaharu atau skuter maxi aras tinggi daripada SYM? Sama-sama kita nantikan.