SYM ADXTG, 15 Perkara Yang Boleh Buat Anda 'Sangkut' Dengan Skuter Bergaya 'Adventure' Ini!

REVIU

5/14/20254 min read

SUDAH berderet reviu, tak kira artikel bacaan atau video mengenai skuter tular dari jenama pengeluar terkemuka Taiwan, SYM iaitu SYM ADXTG atau berkemungkinan tiba dengan nama sedikit berbeza di pasaran Malaysia.

Bakal berentap dalam segmen yang sedang cukup 'panas' ketika ini, apa yang dipertaruhkan MForce Bike sebagai pengedar eksklusif jenama SYM atau Sanyang Motor di Malaysia dan beberapa lagi negara di rantau Asia Tenggara bukan calang-calang.

Malah, tidak salah menyatakan ia berjaya mencetus 'goyang' beberapa pengeluar bertaraf gergasi lain tidak kira dari Asia mahupun Eropah.

Menariknya, MForce juga tampak cukup yakin dengan keupayaan skuter ini untuk berentap sehingga membawa delegasi media tempatan ke Taiwan bagi mendapatkan maklum balas yang lebih terperinci tidak kira dari sudut positif mahupun sebaliknya.

Dan selepas dapat 'membeleknya' ketika di Taiwan termasuk menjalani ujian di kawasan tertutup bagi mendapatkan info mengenai kemampuan atau 'kesedapan' skuter ini, ini ulasan daripada kami di MotoDotMy.com.

Sebelum terlupa, perlu diingat ini adalah ulasan peribadi kami. Lain individu, lain pandangannya. Sebelum terlupa, pelancaran SYM ADXTG di Malaysia dijadual esok (16 Mei 2025). Jom!

1. Rekaan garang, kacak, 'lain' berbanding pesaingnya!

Rekaan memang sesuatu yang subjektif tetapi daripada pelbagai rekaan skuter, SYM memang melakukan kerja yang bagus untuk SYM ADXTG. Malah, tidak salah menyatakan ia memiliki gaya tersendiri yang unik dan tidak terikut-ikut dengan pihak lain.

Turut membuatkan ia menonjol adalah tidak seperti pencabarnya dalam sesaran enjin hampir sama, kelainan rekaan SYM ADXTG turut dibantu atau berkait dengan posisi enjinnya yang akan dibahas lebih lanjut nanti.

Tetapi mudah menyatakan, ia memiliki identiti tersendiri, tidak terlalu melampau dan sedap mata memandang.

2. Trenkuasa diposisi di bahagian tengah, bukan 'biasa-biasa'!

Berikutan enjin yang diposisikan di bahagian tengah, SYM ADXTG bukan sahaja tampil lebih kemas dan eksklusif, tetapi juga menawarkan kestabilan ketika menunggang.

Dari segi teknologi, enjin 399 cc, 1 silinder, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair serta suntikan bahan api SOHC turut dilengkapi dengan teknologi Hyper VVS (Variable Valve System).

Dalam bahasa mudah, Hyper VVS memastikan tork sentiasa optimum pada kedua-dua rpm rendah dan tinggi selain turut memiliki 'Counterbalancer' bagi mengurangkan getaran enjin.

Sebelum terlupa, angka yang diperoleh daripada trenkuasa ini boleh dikatakan 'sihat' dalam kelasnya iaitu 34.5 Hp @ 7,000 rpm dan tork 37 Nm @ 5,500 rpm, .

3. Guna kerangka sama dengan SYM Maxsym TL, 'Premium'!

Sekalipun tidak berstatus premium, SYM ADXTG dipadankan dengan kerangka yang sama dengan model aras tinggi jenama itu SYM Maxysm TL. Justeru, selain kualiti yang lebih terjamin, ia memberikan prestasi kendalian tunggangan yang mantap ala skuter premium.

4. Guna lengan ayun aluminium

Tidak seperti skuter konvensional, posisi enjin SYM ADXTG di bahagian tengah menyaksikannya dilengkapi lengan ayun atau 'Swingarm' ala motosikal konvensional.

Antara kelebihan lengan ayun aluminium adalah ia ringan dan tahan lasak. Bersama dengan sistem suspensi Sanyang Multilink, ia dikatakan berupaya meningkatkan kawalan, keselesaan, keseimbangan dan kurang gegaran.

Dan selain mampu menghasilkan kualiti tunggangan terpuji, ia juga membuatkan skuter ini nampak kacak.

5. Sistem pacuan akhir rantai

Kerana ia menggunakan lengan ayun dengan enjin diposisi di bahagian tengah, ia membenarkannya SYM ADXTG menggunakan pacuan akhir rantai dan tidak seperti skuter konvensional yang menggunakan pacuan tali sawat.

Justeru selain lebih tahan lasak, ia juga nampak lebih yakin untuk ditunggang bagi penggunaan pelbagai keadaan jalan.

6. Sistem ABS, TCS roda belakang boleh nyahaktif

Seperti skuter moden lain, SYM ADXTG memiliki dua ciri penting Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan Kawalan Cengkaman atau TCS. Tetapi apa yang menarik, kedua-duanya boleh dinyahaktif bagi roda belakang bagi penunggang yang mahukan lebih 'kegembiraan'.

7. Bar handel boleh laras

Penggunaan bar handel boleh laras boleh dikatakan wajib untuk skuter bergaya ADV. Selain meningkatkan kehenseman skuter ini, ia juga memberikan lebih keselesaan terhadap penunggang dengan posisi tangan lebih ergonomik.

Bagi SYM ADXTG, bar handelnya bukan saja lebih tebal, namun lebih lebar dan antara kelebihannya adalah ia memberikan keseimbangan lebih baik.

8. Brek depan dengan kaliper 4 Piston

Tiada 'setup' cakera berkembar (depan) tetapi brek depan yang menggunakan cakera tunggal 275 mm dan digenggam dengan kaliper empat piston mempunyai kemampuan yang lebih daripada mencukupi.

Daripada ujian, kualiti membreknya cukup memuaskan tetapi perlu diakui, set cakera berkembar akan membuatkannya lebih kacak.

9. Sistem suspensi yang padu!

Dipadankan dengan fork jenis terbalik 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang), sekali lagi ia nampak mahal dan kacak. Dan daripada ujian yang dilakukan, tugas menyerap hentakan dilakukan dengan baik.

10. Sistem Kunci Pintar Jenis Tekan

Antara ciri yang dialu-alukan adalah SYM ADXTG datang dengan sistem kunci pintar. Tetapi menariknya, ia tidak menggunakan sistem tombol untuk memusing, namun menggunakan jenis tekan yang nampak lebih premium.

11. Saiz yang 'ngam'!

Dengan dimensi 2,166 mm (panjang), 920 mm (lebar), 1,460 mm (tinggi) dan 1,535 mm (jarak roda), angka-angka berkenaan memberikan maklumat yang SYM ADXTG jika dibandingkan dengan pencabar sekelasnya memang akan nampak cukup sama jika diletakkan secara bersebelahan. Ngam!

12. Tangki bahan api 13 liter, antara terbesar dalam kelasnya!

Untuk pasaran Malaysia di mana penggunakan gemar aktiviti menjelajah, kapasiti tangki bahan api yang besar memang dialu-alukan. Untuk pengisian penuh, skuter ini dikatakan boleh mencapai sekitar jarak tunggangan 250-300 km untuk bergantung kepada gaya tunggangan dan keadaan jalan.

13. Kedudukan eksoz tinggi ala 'Motocross'

Mungkin perkara ini nampak remeh tetapi kedudukan ekzos yang tinggi membuatkan SYM ADXTG lebih kacak dan lasak. Ia bukan saja nampak ganas, tetapi ia juga diyakini berupaya membantu mengelakkan ia dimasuki air jika melalui laluan dipenuhi air sebagai contoh banjir cetek.

14. Visor angin besar, tinggi secara standard!

Perlu diakui yang visor angin SYM ADXTG ini memang seperti visor 'aftermarket'. Dengan ketinggian 92 mm, ia memang cukup tinggi bersama dua tetapan manual dan cukup praktikal serta mudah dilaraskan.

15. Harga bawah RM 30k!

Sekalipun belum rasmi, untuk skuter dengan kaliber seperti SYM ADXTG diumumkan pada harga bawah RM 30k memang mencetus keterujaan.

Rumusan

Kepada penggemar skuter di Malaysia, SYM ketika ini memang bukan lagi nama yang asing. Mungkin ada yang meragui kemampuan mereka ketika debut beberapa tahun lalu, tetapi ia akhirnya terbukti sebagai jenama yang boleh dipercayai.

Jika tiada keyakinan, bagaimana mereka mampu untuk menjadi pengeluar kenderaan dua roda terbesar di Taiwan yang mendapat julukan sebagai 'negara skuter' dengan penguasaan pasaran lebih daripada 40 peratus.

Apa yang pasti, seperti jenama lain, SYM juga memerlukan masa bertahun-tahun, termasuk menyedut kepakaran daripada pengeluar gergasi lain termasuk dari Jepun sebelum mereka kini dianggap sebagai gergasi dalam segmen berkenaan.

Dan untuk SYM ADXTG, jujur cakap memang tak mustahil ia mampu menjadi fenomena. Ya, dalam bahasa mudahnya adalah SYM ADXTG bukan skuter yang 'biasa-biasa'.