SYM ADXTG 400 (2025) Rasmi Di Malaysia, RM 29,888!
PELANCARAN
5/16/20252 min read


TEKA teki utama membabitkan SYM ADXTG 400 (2025), penawaran terbaharu MForce Bike dalam segmen skuter 'Adventure' akhirnya terjawab, hari ini apabila ia diumumkan pada harga jualan menarik, RM 29,888 (asas).
Kekal menggunakan nama 'ADXTG' dengan tambahan 400, tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Black, White, Grey.
Menyertai pasaran yang sememangnya cukup 'panas' ketika ini, selain harga yang kompetitif, SYM ADXTG 400 (2025) datang dengan beberapa 'kekuatan' untuk menyertai persaingan itu.
Di bahagian trenkuasa, SYM ADXTG 400 (2025) dijana enjin dengan teknologi Hyper VVS (Variable Valve System) bersesaran 399 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.
Dipadankan dengan transmisi CVT Automatik, enjin yang diposisikan di bahagian tengah skuter berkenaan menyaksikan ia menggunakan sistem pacuan akhir rantai.
Dan berikutan kedudukan enjin yang diposisi di bahagian tengah, ia turut memberikan skuter satu lagi kelebihan yang menyaksikannya menggunakan lengan ayum 'aluminium' bersama sistem suspensi Sanyang Multilink.
Justeru, bukan saja tampil dengan rekaan dan cukup popular ketika ini, ia turut menjadikan skuter ini lebih stabil dan seimbang ketika ditunggang sekali gus dikatakan cukup sesuai bagi penggunaan tunggangan jarak jauh atau aktiviti di permukaan tidak rata atau lasak.
Meningkatkan lagi darjah 'kekacakan' SYM ADXTG 400 (2025) adalah ia turut dipadankan dengan bar hendal jenis boleh laras selain pelindung tangan dan penghadang angin tinggi turut disertakan secara standard.
Selain itu, SYM ADXTG 400 (2025) turut mempunyai sistem yang menarik apabila kedua-dua Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 saluran dan Kawalan Cengkaman atau Traction Control (TCS) dengan ciri boleh nyahaktif roda belakang.
Ciri tambahan lain adalah brek mengejut akan mengaktifkan lampu brek kecemasan (EBL).
Info penting adalah seperti berikut:
Kuasa 34.5 Hp pada 7,000 rpm
Tork 37 Nm pada 5,500 rpm
Set roda 120/70-15 (depan), 140/70-14 (belakang)
Suspensi fork jenis terbalik (USD) 41 mm (depan), penyerap hentak tunggal linkage
Brek Depan: Cakera 275 mm dengan kaliper 4 Piston
Brek Belakang: Cakera 233 mm dengan kaliper 1 Piston
Panel meter LCD berwarna
Pelindung tangan
Pelindung enjin
Ruang simpanan bawah pelana 32 liter
Sistem kunci pintar
Visor angin tinggi boleh laras (manual)
Port pengecas USB
Berat 213 kg
Kepada yang berminat, SYM ADXTG 400 (2025) akan memasuki cawangan pengedar MForce Bike pada penghujung bulan ini.
Seperti biasa, jaminan pengeluar yang ditawarkan untuk SYM ADXTG 400 (2025) adalah selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (Yang mana tiba dahulu).








