SYM ADXTG 400 Dikemas Kini, Lagi 'Kacak'!
Bagi menyerlahkan lagi gaya lasaknya, SYM ADXTG 400 (2027) kini didatangkan dengan rim jejari tanpa tiub, penambah baikkan yang dilihat menambahkan darjah kehenseman skuter dengan rekaan harimau ini
TERKINI
11/9/20261 min read


SYM menjadikan pentas EICMA 2026 di Itali untuk menayangkan versi kemas kini skuter bergaya 'Adventure' popularnya, SYM ADXTG 400 (2027) yang kini tampil dengan penampilan lebih agresif dan moden.
Bagi menyerlahkan lagi gaya lasaknya, SYM ADXTG 400 (2027) kini didatangkan dengan rim jejari tanpa tiub, penambah baikkan yang dilihat menambahkan darjah kehenseman skuter dengan rekaan harimau ini.
Dan bagaikan mendengar luahan penggunanya dan selari dengan keperluan penunggang moden, ia kini dipadankan dengan beberapa ciri teknologi pintar antarnya panel meter TFT berwarna bersaiz 5 inci yang lengkap dengan sambungan pintar melalui aplikasi SYM+.
Lebih menarik, ia turut dipasang kamera papan pemuka yang siap terbina di bahagian depan dan belakang.
Melengkapkan perubahan itu adalah 2 pilihan warna baharu iaitu perak metalik dan merah terang.
Ulas trenkuasa, SYM ADXTG 400 (2027) dipadankan dengan enjin 399 cc, 1 Silinder, Penyejukan Cecair, 4 Injap yang dipadankan bersama sistem injap boleh laras (Hyper-VVS).
Rangkaian kuasa ini mampu menjana kuasa maksimum 25.7 kW dengan tork 37.2 Nm.
Menyentuh aspek pengendalian, sistem suspensi SYM ADXTG 400 (2027) menggunakan fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak belakang jenis multi-link, manakala tahap keselamatannya dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada roda hadapan dan belakang.
Turut mempunyai kemampuan untuk memenuhi tuntutan tunggangan jarak jauh, SYM ADXTG 400 (2027) turut dibekalkan dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter, pemegang dengan fungsi pemanas, brek tangan, port pengecasan Jenis-C dan penghadang badan.



