SYM CLBCU 125 (2025) Rancang Masuk Malaysia, Apa Yang Menarik?

TERKINI

4/24/20252 min read

SELAIN tiga model - SYM TTLBT 508, SYM ADX 400, dan SYM MMBCU, pihak MForce Bike ketika di Taiwan turut mengesahkan kehadiran satu lagi model - SYM CLBCU 125 (2025) untuk pasaran tempatan.

Seperti tiga model yang lain, SYM CLBCU 125 juga tampil dengan nama yang unik dan diposisikan dalam segmen skuter urban dengan rekaan futuristik.

Tetapi jangan terpedaya dengan rekaannya yang nampak 'sopan', ia turut sarat dengan pelbagai teknologi terkini dengan 'kekuatannya' adalah membabitkan penggunaan bahan api yang jimat.

Mengulas rekaannya terlebih dahulu, rekaan SYM CLBCU 125 dikatakan mengambil inspirasi daripada burung 'Colibri' dalam bahasa Itali yang membawa maksud kecil tetapi lincah.

Justeru menurut SYM, skuter ini mudah dikendalikan oleh penunggang dari pelbagai peringkat usia dan jawapan kepada mereka yang mahukan skuter moden dan praktikal terutama untuk menggunaan dalam bandar.

Mengulas trenkuasa, SYM CLBCU 125 dipadankan dengan enjin bersesaran 124.6 cc, 1 Silinder, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara dengan transmisi automatik CVT.

Apa yang menarik, enjin itu menggunakan teknologi EnMIS (Enhanced Multi-Ignition System) yang dibangunkan bersama Keihin yang dalam bahasa mudahnya dapat mengoptimumkan kecekapan pembakaran.

Kepada yang tak tahu, Keihin adalah syarikat Jepun yang terkenal dalam industri automotif dan motosikal serta salah satu pengeluar utama komponen automotif dan motosikal di dunia.

Kuasa yang dihamburkan pula adalah 9.5 hp pada 7,000 rpm dan tork 10.4 Nm pada 5,500 rpm.

Sebagai model yang cekap penggunaan bahan api, SYM CLBCU 125 berdasarkan ujian memperoleh skor 60.9 km/L (ujian di Taiwan) dan 52.6 km/L (WNTC – World Motorcycle Test Cycle).

Dan dipadankan dengan bahan api sebesar 6.5 liter dan berat hanya 99 kg, SYM CLBCU 125 boleh beroperasi dengan jarak lebih jauh tanpa kerap mengisi minyak petrol.

Ciri-Ciri lain adalah seperti berikut:

  • Ruang simpanan bawah pelana 22.5 liter

  • Port pengecas USB Quick Charge 3.0

  • Tempat duduk rata yang diperbuat daripada material tahan calar dan lasak

  • Cermin sisi boleh laras yang memberikan pandangan lebih fleksibel.

  • Brek cakera depan dan brek dram (belakang) dengan sistem brek Combi.

  • Fork teleskopik (depan), Penyerap hentak kembar (belakang)

  • Set roda 90/90-10 (depan), 100/80-10 (belakang)

  • Penghidup elektrik

Setakat ini, pihak MForce Bike masih belum memberikan angka untuk harga SYM CLBCU 125 tetapi ia dijangka 'memikat'. Sama-sama kita nantikan.