SYM Cruisym 400i (2025) Mendarat Di Malaysia, RM 27.9k!
Perang skuter maxi di pasaran tempatan terus hangat dengan kehadiran penawaran terbaharu jenama Taiwan, SYM Cruisym 400i (2025) yang dikatakan bukan memiliki rekaan yang menarik dan unik, tetapi turut menggabungkan prestasi, keselesaan optimum dan teknologi terkini
PELANCARAN
9/30/20252 min read


JAGOAN terbaharu SYM dalam segmen skuter maxi, SYM Cruisym 400i (2025) akhirnya secara rasmi memasuki pasaran Malaysia dan diumumkan pada tanda harga cukup menarik, RM 27,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Dilancarkan sempena majlis Gala MForce Bike, kehadiran SYM Cruisym 400i (2025) bukan saja terus menghangatkan 'perang skuter' di pasaran tempatan, malah sebagai cara jenama Taiwan itu mengukuhkan kehadiran jenamanya di Malaysia.
Tampil dengan rekaan yang unik dan moden, SYM Cruisym 400i (2025) dikatakan bukan saja model yang menarik, tetapiturut menggabungkan prestasi, keselesaan optimum dan teknologi terkini.
Sebelum berbicara lebih lanjut, tiga pilihan warna tersedia iaitu Space Grey, Dark Night Purple dan Dreamy White.
Mengulas bahagian trenkuasa, SYM Cruisym 400i (2025) dijana enjin bersesaran 399 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah 33.5 pada 6,750rpm dan tork 37 Nm pada 5,000 rpm.
Menurut SYM, penggunaan saiz piston x lejang 83.0 mm × 73.8 mm dengan nisbah mampatan 10.5:1 berupaya untuk memberikan keseimbangan kuasa dan kecekapan bahan api.
Tidak seperti satu lagi jagoan SYM dalam segmen skuter maxi SYM ADXTG, SYM Cruisym 400i (2025 menggunakan sistem pacuan akhir jenis tali sawat.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional dengan jarak gerak 120 mm dengan suspensi belakang penyerap hentakan laras jenis laras lurus dengan jarak gerak 108 mm.
Brek pula dijana cakera tunggal bersaiz 288 mm dan cakera tunggal 275 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch dan turut memiliki Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Sebagai antara model penting dalam barisan SYM, SYM Cruisym 400i (2025) dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik antaranya sistem penghidupan elektrik, panel meter TFT berwarna, sistem kunci pintar dengan butang pembuka tangki dan pelana.
Aspek pencahayaan disokong lampu hadapan LED jenis naked projective serta lampu belakang dan lampu isyarat LED.
Untuk menambah nilai praktikaliti, SYM Cruisym 400i (2025) menyediakan dua ruang poket simpanan hadapan serta ruang bawah pelana yang boleh memuatkan satu helmet muka penuh dan satu helmet standard dan memiliki sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS).
Antara yang menarik perhatian ia dilengkapi dengan kamera pemuka depan dan belakang. Untuk meningkatkan pengalaman menunggang, pelana yang digunakan adalah jenis berkembar dengan penyandar belakang memberikan keselesaan maksimum untuk penunggang dan pembonceng.
Ciri-ciri menarik dan informasi lain adalah seperti berikut:
Visor angin boleh laras manual
Port pengecasan lengkap iaitu Type-C (QC 3.0), Type-A, soket 12V.
Set roda 120/70-R15 (depan) dan 160/60-R14 (belakang).
Tinggi pelana 785 mm
Jarak lega bumi 140 mm
Berat 222 kg
Tangki bahan api 14.5 liter
Berminat? Menurut MFroce Bike, SYM Cruisym 400i (2025) sudah pun tersedia di semua pengedar sah MForce seluruh Malaysia.
Setiap pembelian mana-mana model SYM Cruisym 400i boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun dengan jarak perjalanan tanpa had dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.












