SYM Husky 150 (2024) Rasmi Mendarat Di Malaysia, 2 Varian, Harga Mula RM 9,998 (Asas)!

PELANCARAN

4/1/20241 min read

SYM Malaysia memeriahkan segmen skuter bergaya 'ADV Touring' di pasaran tempatan dengan melancarkan model yang penampilannya amat dinanti-nantikan, SYM Husky 150 (2024), hari ini.

Sejak pengenalannya di peringkat global pada pameran EICMA beberapa tahun lalu, kehadiran SYM Husky 150 (2024) yang tampil dengan rekaan cukup memikat mata dan ranggi kerap dimainkan pihak media sebelum ini.

Tiba dalam dua varian, Standard dan Special Edition (SE), setiap varian dipadankan dengan dua pilihan warna yang menarik dengan perincian seperti berikut.

SYM Husky 150 (2024) Standard

  • Harga: RM 9,998

  • Pilihan warna: Ebony Black, Pure White

SYM Husky 150 (2024) Special Edition

  • Harga: RM 10,298

  • Pilihan warna: Matte Green, Wolf Grey

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas dan tidak termasuk yuran pendaftaran, insurans dan cukai jalan.

Sebagai model pencabar kepada model-model popular termasuk Honda ADV 160, SYM Husky 150 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, SOHC, Penyejuk Cecair.

Kuasa yang dihasilkan ialah 14.4 Hp pada 7,500 rpm dan tork 14.5 Nm pada 6,000 rpm.

Mengulas lanjut, sistem suspensi yang dipadankan adalah fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan sistem brek cakera (depan, belakang) lengkap sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.

Seperti skuter moden lain, SYM Husky 150 (2024) turut dipadankan dengan sistem Traction Control (TCS) dengan keistimewaan lain termasuklah mod pencucuhan kecemasan yang membolehkan pemilik menghidupkan enjin walaupun bateri kunci lemah.

Lebih menarik lagi, ia turut memiliki kapasiti tangki bahan api sebesar 15 liter.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunakan panel meter jenis TFT berwarna bersaiz 5 inci dengan sistem pemalap automatik serta dua mod (siang dan malam) yang boleh berubah secara automatik, sistem Kunci Pintar yang mudah dikendalikan dan sistem lampu LED penuh.

Kepada yang berminat, SYM Husky 150 (2024) boleh didapati di semua cawangan pengedar sah MForce Bike seluruh negara bermula 2 April ini (Selasa).

Seperti biasa, setiap pembelian SYM Husky 150 bakal menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.