SYM Husky 200 (2026) Tiba Di Pasaran Malaysia, RM 10,998

Selepas kejayaan varian 150 cc dan 300 cc, SYM Malaysia mencipta kejutan dengan melancarkan versi terbaharu skuter bergaya 'Adventure' popularnya itu SYM Husky 200 (2026)

PELANCARAN

5/31/20261 min read

MENGIKUTI kejayaan varian 150 cc dan 300 cc yang menggunakan 'tag model' Husky, SYM Malaysia mencipta kejutan dengan melancarkan versi terbaharu skuter bergaya 'Adventure' popularnya itu SYM Husky 200 (2026).

Apa yang menarik, meskipun tampil lebih bertenaga, SYM Husky 200 (2026) diumumkan pada harga asas yang menarik RM 10,998 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Hijau, Putih dan Ungu.

Dilancarkan sempena MForce MotoXperience di MBS 2026, apa yang pasti, tanda harganya yang kompetitif itu pasti memberi saingan sengit kepada model pesaing dalam kelasnya yang diakui cukup padat ketika ini di pasaran tempatan.

Seperti namanya, antara peningkatan SYM Husky 200 adalah dari sudut trenkuasa. Ia kini dipacu oleh enjin 175 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan APi, OHC dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa berada pada angka 16 Hp pada 8,000 rpm dan tork 15.6 Nm pada 7,000 rpm.

Sekalipun penampilan nampak makin segak, tiada perubahan dari sudut rekaan dijalankan. Tetapi ketinggian pelana SYM Husky 200 (2026) kini berada pada angka 810 mm.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal kedua-dua roda dan lengkap bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) sebagai ciri standard.

Tugas menyerap hentakan pula diserahkan kepada fork teleskopik konvensional (tidak boleh laras) depan dan penyerap hentak tunggal dengan tetapan pra-bebanan (belakang).

Panel meter menggunakan jenis TFT berwarna dan menariknya dilengkapi fungsi meredup secara automatik untuk peralihan cahaya gelap dan cerah.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti sistem kunci pintar, ruang simpanan barang di bawah pelana luas, ruang simpanan kokpit hadapan, port pengecasan USB, sistem lampu LED penuh dan visor angin tinggi (tiada ciri pelarasan).

Info lain:

  • Set roda 120/70-13 (Depan), 130/70-13 (belakang)

  • Tangki bahan api 15 liter

  • Berat 152 kg (kering)