SYM Husky ADV150 (2024) Dilihat Jalani Ujian, Pelancaran Pada Mac?

TERKINI

1/31/20241 min read

SEJAK dipertontonkan di Eicma 2021, skuter bergaya 'ADV', SYM Husky ADV150 menjadi antara model diharapkan tiba di pasaran tempatan dan penantian itu dijangka berakhir tak lama lagi.

Ia berikutan tularnya imej yang mirip skuter berkenaan sedang ditunggang uji lebuh raya di Malaysia.

Berdasarkan laporan rakan media PanduLaju, skuter berkenaan dikesan menjalani ujian ketahanan di sekitar kawasan utara negara yang juga ibu pejabat SYM Malaysia dan pengedar ekskluksifnya, MForce Bike.

Lebih menarik, bukan sahaja imej yang diperoleh, namun turut ada video yang menunjukkan skuter itu sedang ditunggang uji.

Daripada foto dan video yang tular itu, ia memang cukup mirip SYM Husky ADV150 yang memiliki rekaan 'Sporty' dan menarik.

Menurut laporan Mekanika pula, skuter berkenaan dijangkakan akan dilancarkan dalam tempoh terdekat iaitu pada Mac ini.

Dan ia adalah berdasarkan daripada sumber yang diperoleh daripada pihak MForce sendiri.

Apa yang menarik, tiba di bawah 'Payung' MForce, harga jualan untuk SYM Husky ADV150 dijangka menarik dan berkemungkinan besar di bawak RM 10,000.

Mengulas ringkas spesifikasi SYM Husky ADV150, skuter ini dipadankan dengan enjin 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah 14.5 Hp pada 7,000 rpm dan tork 14.5 Nm pada 6,000 rpm.

Ciri-ciri menarik adalah seperti sistem lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna, sistem brek cakera (depan/belakang) lengkap dengan ABS dua saluran dan tangki bahan api 15 liter.

Imej tunggang uji: PandLaju