SYM Malaysia Dijadual Lancar SYM Maxsym TL 508, Husky ADV 150 (2024) 1 April Ini!

TERKINI

3/28/20241 min read

SEPERTI jangkaan, SYM Malaysia bakal melancarkan dua penawaran baharu dalam segmen skuter di pasaran tempatan menerusi pengenalan SYM Maxsym TL 508 dan SYM Husky ADV 150 (2024).

Apa yang menarik, tarikh pelancaran kedua-dua model berkenaan dijadualkan pada 1 April ini (Isnin).

Tidak lagi mahu berteka-teki, syarikat berkenaan menerusi hantaran di laman sosial rasminya turut memaparkan imej siluet dua model yang memang cukup mirip SYM Maxsym TL 508, Husky ADV 150.

Dan ia cukup selari dengan laporan yang pernah dikeluarkan sebelum ini termasuk kami di MotoDotMy.com mengenai kehadiran dua model terbaharu daripada SYM Malaysia itu.

Kepada yang tidak tahu, SYM Maxsym TL 508 adalah model naik taraf kepada SYM Maxsym TL 500 yang dilancarkan di pasaran tempatan beberapa tahun lalu.

Dan seperti namanya, ia mengalami beberapa naik taraf termasuk di bahagian trenkuasa. Dipadankan dengan enjin bersesaran 508 cc, 2 Silinder, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, enjin yang mematuhi piawaian Euro5 itu digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 45.5 PS pada 6,750 rpm dan tork 49.9 Nm pada 5,250 rpm.

Seperti skuter moden dan aras tinggi lain, ia dipadankan dengan pelbagai ciri menarik termasuklah sistem Kunci Pintar, panel meter jenis berwarna TFT, Kawalan Traksi dan pelbagai lagi.

Untuk SYM Husky ADV150, antara kekuatan skuter ini adalah menerusi rekaannya yang cukup 'Sporty' dan menarik.

Mengulas ringkas spesifikasi, dipadankan dengan enjin 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah 14.5 Hp pada 7,000 rpm dan tork 14.5 Nm pada 6,000 rpm.

Ciri-ciri menarik adalah seperti sistem lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna, sistem brek cakera (depan/belakang) lengkap dengan ABS dua saluran dan tangki bahan api 15 liter.

Berdasarkan sumber daripada pihak pengedar, MForce Bike Holdings (MForce), SYM Maxsym TL 508 akan dijual pada harga bawah RM 50k manakala Husky ADV 150 akan diperkenalkan pada harga bawah RM 10k.

Nantikan perkembangan lanjut daripada kami di MotoDotMy.com