SYM Malaysia Lakar Sejarah, Raih Dua Anugerah Di EICMA 2025
Anugerah ‘2025 Best Seller’ dan ‘2025 ADXTG Best Seller’ yang disampaikan oleh SYM, pengeluar motosikal terkemuka Asia, menjadi bukti terhadap pencapaian luar biasa MForce dalam memperkukuh jenama SYM di pasaran tempatan.
TERKINI
11/5/20251 min read


SYM Malaysia menerusi pengedar rasminya, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul dua anugerah berprestij sempena Pameran Motosikal Antarabangsa (EICMA) 2025 yang berlangsung di Milan, Itali.
Anugerah ‘2025 Best Seller’ dan ‘2025 ADXTG Best Seller’ yang disampaikan oleh SYM, pengeluar motosikal terkemuka Asia, menjadi bukti kukuh terhadap pencapaian luar biasa MForce dalam memperkukuh jenama SYM di pasaran tempatan.
Kepada yang tidak tahu, SYM ketika ini menguasai hampir 40 peratus pasaran domestik di Taiwan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pengeluar motosikal berkualiti tinggi dan dipercayai untuk pelbagai gaya penggunaan.
Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Asri Ahmad berkata, pengiktirafan itu adalah hasil kerjasama erat antara pasukan pengurusan, rangkaian pengedar serta sokongan padu daripada pelanggan setia di seluruh negara.
“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan yang memberikan kepercayaan kepada motosikal SYM. Sebagai pengedar rasmi, kami berazam untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan demi memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik,” katanya.
Kata Asri, MForce akan terus memperkukuh sokongan pelanggan melalui beberapa inisiatif strategik termasuk:
Pengembangan konsep “MForce Premium Outlet” bagi menawarkan pengalaman pembelian dan servis lebih eksklusif.
Pembesaran serta penambahbaikan rangkaian pusat servis sedia ada untuk meningkatkan akses dan kecekapan perkhidmatan di seluruh negara.
MForce Bike berkata pelan yang dirancang dijangka mampu memperkukuh kedudukan SYM dalam pasaran Malaysia serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut pada masa akan datang.

