SYM Malaysia Tayang Skuter Baharu, Petanda SYM MMBCU 150 Sedia Terjah Pasaran?

Daya tarikan utama SYM MMBCU 150 sudah pastinya terletak pada reka bentuknya. Ketika lawatan media Malaysia termasuk MotoDotMy.com ke Taiwan anjuran MForce Bike, laporan kami senada iaitu rekaannya sangat agresif, moden, dan penuh dengan karakter

TERKINI

9/11/20251 min read

SELEPAS SYM ADXTG, SYM Malaysia tampak bersedia untuk melancarkan sebuah model baharu juga dalam segmen skuter.

Seperti enggan 'perang skuter' itu menguncup, SYM Malaysia hari ini menayangkan satu imej teaser yang menampilkan sebuah model baharu dan menariknya, bersama petunjuk yang menjurus kepada satu nama yang cukup unik dan dinanti-nantikan: SYM MMBCU 150.

Jadi, adakah skuter berkonsepkan rekaan 'ular Mamba' ini sudah bersedia untuk menyertai segmen skuter 150 cc yang memang sangat kompetitif di Malaysia.

MMBCU atau Naga? Spekulasi Nama dan Identiti

Melihat kepada beberapa pasaran jiran seperti Vietnam, model yang sama turut dikenali dengan nama berbeza iaitu SYM Naga 150.

Tetapi berdasarkan maklumat awal dan nama yang diguna pakai di pasaran asalnya Taiwan, besar kemungkinan pasaran Malaysia akan mengekalkan nama aslinya, SYM MMBCU 150 yang membawa maksud: Mamba, Crossover, dan Unique.

Ia memberi gambaran jelas tentang DNA skuter ini iaitu ganas seperti ular Mamba, versatil seperti model crossover, dan rekaan yang benar-benar unik.

Daya tarikan utama SYM MMBCU 150 sudah pastinya terletak pada reka bentuknya. Ketika lawatan media Malaysia termasuk MotoDotMy.com ke Taiwan anjuran MForce Bike, laporan kami senada iaitu rekaannya sangat agresif, moden, dan penuh dengan karakter.

Garisan badan yang tajam, muncung hadapan yang tirus dengan lampu LED seakan mata pemangsa, serta bahagian belakang yang berotot, semuanya diilhamkan daripada siluet seekor ular Mamba yang sedia untuk menyerang memang unik.

Lebih menarik, SYM turut menggunakan teknik salutan cat khas yang mampu berubah warna mengikut sudut pandangan dan pencahayaan. Ciri premium ini pastinya akan membuatkan SYM MMBCU 150 kelihatan lebih menonjol dan eksklusif di atas jalan raya.

Mengulas trenkuasa, SYM MMBCU 150 dipadankan dengan enjin bersesaran 158 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi CVT Automatik.

Kuasa dihamburkan adalah sebesar 15.4 Hp @ 8,000 rpm dengan tork 15 Nm @ 6,000 rpm.

Dan berdasarkan angka ini, ia tampak setanding, malah sedikit di hadapan beberapa pesaing utamanya di pasaran.

Setakat ini, banyak perincian mengenai SYM MMBCU 150 masih menjadi tanda tanya tetapi berdasarkan maklumat yang diperoleh, ia berkemungkinan dijual pada tanda harga sekitar RM 9,000. Sama-sama kita nantikan.