SYM Maxsym TL508 (2024) Debut Pasaran Malaysia, Asas RM 46,888!

PELANCARAN

4/1/20242 min read

SYM Malaysia membuat debut skuter maxi aras tinggi jenama itu, SYM Maxsym TL508 (2024) di pasaran tempatan, hari ini yang diperkenalkan pada harga pengenalan cukup menarik, RM 46,888 (asas).

Pelancaran yang dibuat di Shah Alam oleh pengedar dan pengimport jenama Taiwan itu di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) sekali gus menamatkan teka-teki syarikat itu di laman sosial rasminya sebelum ini.

Dari sudut pilihan warna, tiga warna tersedia untuk SYM Maxsym TL508 (2024) iaitu Indigo Blue, Storm Grey dan Jet Black. Dan seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Kepada yang tak tahu, SYM Maxsym TL508 (2024) adalah model naik taraf kepada SYM Maxsym TL500 yang diperkenalkan pada tahun 2020 dan diposisikan dalam segmen skuter premium.

Justeru, antara yang menjadi pencabarnya di pasaran tempatan termasuklah Yamaha TMax Tech Max dan terbaharu, Kymco AK550 Premium (2024) yang kedua-duanya dijual pada harga lebih premium.

Sekalipun tiada perubahan ketara dari sudut rekaan, SYM Maxsym TL508 (2024) mendapat pelbagai naik taraf termasuk dari sudut trenkuasa yang menyaksikan prestasinya mengalami peningkatan.

Mengulas spesifikasi trenkuasa, SYM Maxsym TL508 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 508 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, Euro 5 yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 45.5 PS @ 6,750 rpm dan tork 49.9 Nm @ 5,250 rpm.

Sebagai skuter maxi generasi terbaharu SYM, Maxsym TL508 (2024) didakwa mempunyai pengendalian yang cukup baik menerusi nisbah berat dan kuasa yang seimbang.

Sebagai model premium, ia dipadankan dengan fork depan jenis terbaik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar bersaiz 275 mm (depan) dan cakera tunggal 275 mm. Seperti biasa, ia lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran. Set roda pula adalah 120/70-15 (depan) dan 160/60-15 (belakang).

Ciri-ciri menarik yang dipadankan kepada SYM Maxsym TL508 (2024) termasuklah Sistem Kunci Pintar terbaharu, port pengecas USB pantas, panel meter TFT berwarna, sistem lampu LED, Sistem Kawalan Traksi (TCS), visor angin boleh laras dan pelana ergonomik anti gelincir.

Informasi lain termasuklah ketinggian pelana 795 mm, kapasiti tangki bahan api 12.5 liter dan berat 227 kg.

Dan seperti biasa, setiap pembelian berpeluang untuk menikmati jaminan perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike.

Kepada yang berminat, SYM Maxsym TL508 (2024) akan mula berada di cawangan pengedar sah MForce Bike pada awal Mei depan.