SYM MMBCU 150 (2025) Bakal Masuk Malaysia, Pelancaran Jangka Tahun Ini!

TERKINI

4/22/20251 min read

SATU lagi penawaran menarik daripada jenama terkemuka SYM bakal memasuki pasaran Malaysia mengikuti model bergaya 'Adventure', SYM ADX 400 (2025) dan model premium, SYM TTLBT 508 iaitu SYM MMBCU 150 (2025).

Seperti namanya yang unik, SYM MMBCU 150 (2025) adalah skuter dengan sesaran enjin 150 cc dan diposisi dalam segmen skuter sport dan yang tampil dengan rekaan moden, futuristik dan garang.

Apa yang menarik, rekaannya dikatakan diinspirasikan daripada ular mamba, ular terpantas di dunia.

Justeru, rekaan tampil dengan pelbagai elemen seperti lampu depan berbentuk sisik ular, lampu belakang menyerupai taring dan tekstur kulit ular pada bahagian panel.

Di bahagian trenkuasa, SYM MMBCU 150 (2025) dipadankan dengan enjin 150.8 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 14.8 Hp pada 8,000 rpm dan tork 15 Nm pada 6,000 rpm dan dikatakan memiliki keseimbangan antara kuasa dan kecekapan untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.

Dan kepada yang tertanya-tanya, ia betul kerana enjin yang digunakan SYM MMBCU 150 (2025) adalah sama dengan SYM Husky 150.

Sebagai skuter moden, SYM MMBCU 150 (2025) memiliki ciri Kawalan Cengkaman (TCS) yang memiliki ciri nyahaktif dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ciri-ciri dan maklumat lain adalah seperti sistem lampu LED penuh, port pengecas USB, panel meter LCD dan tangki bahan api berkapasiti 7.3 liter.

Ruang simpanan bawah pelana adalah berkapasiti 28 liter dan cukup besar untuk menyimpan satu helmet 'full-face' selain ruang simpanan di bahagian kokpit yang boleh memuatkan botol air 700 ml.

Dapat melihatnya di depan mata ketika lawatan MForce Bike bersama media ke Taiwan yang juga ibu pejabat SYM atau Sanyang Motor, boleh dikatakan ia memang sebuah skuter yang unik dan futuristik.

Daripada maklumat yang diperoleh di Taiwan, SYM MMBCU 150 dirancang untuk dilancarkan pada tahun ini dan setakat ini, pihak MForce Bike masih belum mendedahkan tanda harganya tetapi berdasarkan risikan, ia di bawah RM 10k.

Dan berdasarkan pasaran negara jiran Vietnam, ia dikenali sebagai Naga. Jadi adakah kita di Malaysia akan mengikut langkah sama? Sama-sama kita nantikan.