SYM Naga 155 (2025) Rasmi Di Malaysia, RM 8.9k!

Seperti pasaran Asia Tenggara lain, SYM Malaysia menerusi MForce Bike memilih untuk menggunakan nama SYM Naga 155 berbanding MMBCU yang digunakan di pasaran global termasuk negara pengeluar SYM sendiri iaitu Taiwan

PELANCARAN

9/30/20251 min read

SYM Malaysia memperkenalkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter bergaya 'Sporty', SYM Naga 155 (2025) yang ditawarkan pada tanda harga RM 8,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Seperti pasaran Asia Tenggara lain, SYM Malaysia menerusi MForce Bike memilih untuk menggunakan nama 'Naga' berbanding MMBCU yang digunakan di pasaran global termasuk negara pengeluar Taiwan.

Dari sudut rekaan, SYM Naga 155 (2025) mengambil inspirasi daripada rekaan ular Mamba yang menyaksikan beberapa bahagian panel skuter ini mendapat sentuhan unik menyerupai sisik ular yang memberi identiti tersendiri daripada skuter lain di pasaran.

Sebelum pergi lebih jauh, SYM Naga 155 (2025) yang juga skuter jenis dek rata dan praktikal ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Matte Green, Black, White dan Silver.

Di bahagian trenkuasa, SYM Naga 155 (2025) dipadankan dengan enjin 149.6 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi automatik CVT.

Dengan pacuan akhir menggunakan tali sawat, kuasa yang dihamburkan berada pada angka 14.2 Hp pada 8,000 rpm serta tork 13 Nm pada 7,500 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik di hadapan dengan jarak gerak 90 mm dan unit swing di belakang (37mm).

Kuasa membrek dipacu cakera tunggal 260 mm (depan) dan cakera tunggal 233 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Kemudahan tambahan termasuk poket simpanan hadapan dengan pemegang cawan, ruang bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh.

Dimensi

  • Panjang - 1,995 mm

  • Lebar - 760 mm

  • Tinggi - 1,125 mm

  • Jarak antara roda - 1,385 mm

  • Lega bumi - 125 mm

  • Tinggi pelana - 800 mm

Ciri-ciri dan info menarik adalah seperti berikut:

  • Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)

  • Set roda 120/70-13 (depan), 130/70-13 (belakang)

  • Sistem lampu LED penuh

  • Panel meter digital penuh

  • Sistem tanpa kunci

  • Port pengecas USB QC 3.0, Type- C dan Type-A

  • Tangki bahan api 7.3 liter

  • Berat 144 kg

Macam biasa, setiap pembelian membolehkan pembeli menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Menurut MForce, SYM Naga 155 (2025) sudah pun boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.