SYM Tuscany 150 (2023) Buat Kemunculan Di KLBS 2023, RM 8.9k, Skuter Gaya Klasik, Moden!

PELANCARAN

8/24/20231 min read

SYM Malaysia melancarkan penawaran terbaharunya, SYM Tuscany 150 (2023), skuter yang tampil dengan gaya klasik, moden bersempena acara Kuala Lumpur Bike Show 2023 yang sedang berlangsung bermula hari ini.

Didakwa SYM Malaysia sebagai antara model yang dinanti-nantikan oleh pencinta skuter klasik di pasaran tempatan, SYM Tuscany 150 (2023) datang pada tanda harga RM 8,888.

Seperti biasa, harga yang ditawarkan itu tak termasuk insuran dan cukai jalan.

Pilihan warna yang ditawarkan ada tiga iaitu:

  • Merah

  • Kelabu

  • Putih

Di bahagian trenkuasa, SYM Tuscany 150 (2023) dijana enjin bersesaran 149.6 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 11.3 Hp pada 8,000 rpm, dan tork 11.4 Nm pada 5,500rpm.

Menurut SYM Malaysia, trenkuasa yang dipadankan kepada SYM Tuscany 150 (2023) menawarkan keseimbangan harmoni antara kuasa serta memiliki penggunaan bahan api yang cekap.

Dikatakan sesuai untuk penggunaan harian dalam bandar atau perjalanan jauh, skuter ini menggunakan sistem brek cakera (depan dan belakang) yang dipadankan dengan sistem Combi.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah Sistem lampu LED penuh, panel meter LCD digital penuh yang menunjukkan pelbagai informasi dan port pengecas pantas USB.

Lebih menarik, sistem kunci pintar pintar yang dibekalkan lengkap dengan penggera anti-kecurian. Selain menghidupkan dan mematikan enjin, ia turut digunakan untuk membuka ruang simpanan dan tangki bahan api.

Setiap pembelian akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Kepada yang berminat, SYM Tuscany 150 (2023) sudah pun boleh didapati di mana-mana pengedar sah SYM di seluruh Malaysia.