'TAHU Akan Menang Bila Marc Marquez Jatuh'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/31/20251 min read

PEMENANG perlumbaan MotoGP Grand Prix Amerika Syarikat, Francesco Bagnaia mengakui peluangnya untuk meraih kemenangan menjadi besar sejurus rakan sepasukannya, Marc Marquez terjatuh.

Pelumba kelahiran Itali itu meraih kemenangan pertamanya pada musim 2025 dan menamatkan deretan kemenangan Marquez dengan kejayaan di COTA.

Sekalipun memimpin perlumbaan sejak awal, Marquez mensia-siakan peluang untuk memenangi perlumbaan ke-6 miliknya musim ini apabila terjatuh.

Marquez cuba meneruskan perlumbaan tetapi keadaan jenteranya yang rosak termasuk kehilangan 'peg kaki' menghalangnya berbuat demikian.

Dan peluang itu tidak disia-siakan Bagnaia yang turut memperoleh permulaan baik sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-6.

"Perasaan yang menakjubkan, saya amat gembira. Ini kali pertama saya menang di COTA," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net

"Saya tahun akan menang kerana Marc mengalami kemalangan. Dia lebih pantas berbanding kami, lebih pantas berbanding semua orang. Jadi saya hanya cuba menyamai kelajuannya sebaik mungkin.

"Sejurus saya melihat dia kemalangan, saya terus memberi tekanan dan membuka jurang dengan Alex. Dia masih amat dekat, dan tidak mudah kerana dia amat bagus pada sektor 1, kekal rapat di sektor 2 dan saya hanya boleh menjarakkan diri dengannya di sektor 3 dengan melakukan brek kuat menuju selekoh 12.

Bagnaia dalam pada itu mengakui kemenangan itu menjadi titik permulaannya buatnya selepas mengharungi permulaan yang kurang menyenangkan.

"Permulaan musim ini tidak mudah, Sejak daripada ujian musim sejuk kepada dua pusingan pertama, saya bergelut untuk mendapatkan perasaan saya ketika melakukan brek.

"Tetapi minggu ini amat membantu saya, saya akhirnya menemui apa yang saya cari.

"Saya amat gembira untuk pasukan saya, kerana mereka yang sentiasa memberi desakan kepada saya dan membuatkan saya tersenyum ketika menunggang. Jadi terima kasih kepada pasukan yang sentiasa bekerja keras membantu saya.

"Saya amat gembira... Saya sudah pun kehilangan suara saya," katanya.