TAK Ada Di Sini Untuk Tempat Ketiga - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/2/20252 min read


DUA kedudukan ketiga di Grand Prix (GP) Thailand 2025 disifatkan naib juara dunia MotoGP musim lalu, Francesco Bagnaia sebagai keputusan di bawah jangkaannya.
Selepas menamatkan sesi kelayakan di petak ketiga, pelumba pasukan Ducati Lenovo itu menamatkan kedua-dua Perlumbaan Sprint dan GP di belakang duo adik beradik, Marc dan Alex Marquez.
Dan sekalipun mengakui ia adalah keputusan 'maksimum' yang mampu dicapainya, Bagnaia begitupun mengakui ia bukan apa yang dia inginkan.
"Saya tidak berada di sini untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga," kata Bagnaia. "Saya belajar daripada tahun lalu yang penting untuk memberikan semaksimum mungkin, dan untuk mengambil risiko yang betul.
"Hari ini, saya cuba untuk menguruskan situasi kerana saya mengambil sedikit risiko untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya berada di belakang dan sentiasa cuba untuk merapatkan jurang dan saya juga berdepan masalah dengan bahagian depan.
"Jadi ia (kedudukan ketiga) adalah yang maksimum boleh saya lakukan. Saya tidak akan menerima tempat ketiga tetapi ia adalah semaksimum yang saya boleh lakukan, dan pada masa depan, saya akan cuba mendapatkan tempat kedua dan selepas itu, pertama.
"Tetapi saya perlu mula berkerja dengan pelarasan saya, terhadap jentera, seperti kami lakukan pada Sabtu dan merapatkan jurang kepada mereka (Alex dan Marc)," kata Bagnaia yang menjelaskan dia tidak berdepan ujian pra-musim terbaik yang membuatkannya kurang bersedia untuk perlumbaan.
Bagnaia dalam pada itu mengakui dia kehilangan banyak masa kepada Marc dan Alex terutama pada sektor dua sekalipun mempunyai kelebihan dari sudut membrek di Buriram.
"Saya amat bagus ketika melakukan brek yang keras, selekoh 1, 2 dan 12, dan saya tidak buruk di beberapa selekoh juga, tetapi saya kehilangan masa yang banyak di selekoh 4, 5 dan 6 kepada Marc, dan selekoh 7, 8 kepada Alex.
"Jadi atas alasan ini ia sukar. Saya cuba untuk meningkat, tetapi mungkin saya tidak berada dalam keadaan terbaik untuk melawan mereka."
Dan pelumba kelahiran Itali itu turut merasakan yang rakan sepasukannya, Marc 'memainkan' dirinya dan Alex ketika 'melepaskan' kedudukan pendahulu sebelum bangkit di penghujung perlumbaan dan menang.
"Saya fikir yang Marc pada hari ini memainkan kami sedikit, juga kerana masalanya dengan tekanan angin tayarnya, kerana sejurus dia memutuskan (pergi ke depan), dia mencipta jurang dengan saya sebanyak 2.3 saat dalam tiga pusingan.
"Jadi dia jauh lebih laju dan saya perlu bertambah baik, belajar apa yang dia lakukan dengan lebih baik dan rapatkan jurang kerana saya tahu dua pusingan seterusnya amat baik untuk mereka."
