'TAK Adil Ducati Ada 8 Pelumba Di MotoGP'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/17/20231 min read

KEPUTUSAN membenarkan Ducati memiliki lapan jentera di grid MotoGP sejak musim 2022 dianggap sebagai tak adil oleh pelumba KTM yang bakal meninggalkan kempen berprestij itu musim depan, Pol Espargaro.

Espargaro terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada MotoGP musim depan bagi memberi laluan kepada pelumba muda, Pedro Acosta bersama pasukan satelit KTM, GasGas Factory Racing Tech3.

Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu tidak bersara 'penuh' dan akan menjalankan tugas sebagai pelumba ujian selain berlumba secara 'Wildcard' musim depan.

Ketika ditanya mengenai situasi yang menimpa dirinya, Espargaro berkata sukar untuknya 'menghadam' mengapa pengeluar Austria itu tidak dibenarkan memiliki lima jentera di MotoGP ketika Ducati mempunyai lapan jentera.

"Saya difahamkan yang Pierer Mobility Group (Syarikat induk KTM) mahu mempunyai lebih jentera di atas litar, tetapi ia tidak mudah," kata Espargaro memetik laporan Crash.net.

"Kami tidak boleh menjangkakan untuk mendapat apa yang kamu mahu, kamu akan dapat. Ada proses (untuk mendapatkan tempat di grid) dan kamu perlu melalui proses itu.

"Tetapi jika kamu bertanya kepada saya secara peribadi, sudah tentu Pierer Mobility Group layak untuk mendapatkan lebih tempat dalam kategori ini.

"Ini kerana ada pengeluar lain mempunyai lapan jentera di atas litar, yang juga pengeluar terbaik ketika ini. Dan saya fikir ia adalah disebabkan kelapan-lapan jentera yang ada di atas litar.

"Dan ia tidak adil untuk pengeluar lain, dan untuk semua pelumba kerana sebenarnya, kejuaraan boleh berubaha agak banyak jika beberapa pelumba Ducati berlumba dengan jentera lain.

"Jadi dengan berfikir seperti itu, saya percaya jika Pierer Mobility Group boleh mendapatkan lebih tempat, ia lebih adil."

Setakat ini, MotoGP menegaskan yang dua kekosongan yang ditinggalkan oleh Suzuki hanya boleh diisi oleh pasukan berstatus pengeluar dan bukannya satelit. Ketika ini, 8 tempat diisi Ducati, 4 masing-masing Honda, KTM dan Aprilia dan 2 untuk Yamaha.