TAK Adil Kepada Enea Jika Martin Dapat 'Pelana Factory' Ducati Musim 2024 - Francesco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/10/20231 min read

KETIKA sidang media rasmi GP Malaysia 2023 semalam, pendahulu carta kejuaraan MotoGP 2023, Francesco Bagnaia mengulas sesuatu mengenai rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Enea Bastianini.

Sedang bersaing sengit dengan pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin dalam pemburuan kejuaraan dunia, Bagnaia atau Pecco ketika ini hanya memiliki kelebihan 13 mata berbanding pelumba satelit itu.

Dan prestasi yang ditampilkan Martin ketika ini pantas mencipta spekulasi yang pelumba Sepanyol itu bakal memperoleh 'seat' bersama pasukan 'Factory' yang sekaligus melihat Bastianini disisihkan.

Sekalipun bukan rasmi daripada Ducati, ada cakap-cakap kedengaran yang Martin jika berjaya menjulang gelaran dunia MotoGP 2023 dan bergelar pelumba satelit pertama melakukannya harus menjadi rakan sepasukan Pecco bagi musim 2024.

Tahun lalu, Bastianini muncul pelumba kedua terbaik Ducati bersama satu lagi pasukan satelit, Gresini selepas merangkul empat kemenangan.

Tetapi, pelumba kelahiran Itali itu banyak kali tersisih pada musim ini susulan kecederaan diperoleh seawal pusingan pembuka musim di Portimao, Portugal.

Seperti Bagnaia, Bastianini dan Martin memiliki kontrak bersama Ducati, dan bukannya pasukan yang secara teori menjadikan situasi 'swap' lebih mudah tetapi bagi Pecco, ia tidak adil buat Bastianini.

"Saya tidak pernah menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan seperti ini dan saya langsung tidak mahu membuat sebarang keputusan," kata Bagnaia.

"Saya fikir bagi Enea, ia tidak adil, untuk musim yang dia peroleh (kecederaan). Tetapi saya hanya berada di sini untuk berlumba dan lebih baik bertanya kepadanya dan bukan saya. Saya tak tahu.

Sementara itu, Martin menjelaskan dia terbuka dengan sebarang kemungkinan termasuk 'berpindah' jika permintaan itu datang daripada Ducati sendiri.

"Apapun, tak banyak saya boleh katakan. Saya boleh berkata yang saya amat berbangga jika saya terus bersama Pramac musim depan, tetapi sudah pasti jika Ducati mahu saya menyertai mereka dengan jentera merah, saya pasti akan menjadi amat gembira," katanya.

Daripada 17 pusingan perlumbaan MotoGP yang sudah berlangsung, Bastianini hanya berlumba dalam lapan pusingan dengan keputusan terbaiknya adalah di tangga ke-8 (perlumbaan utama).

Martin pula sedang mengharungi kempen mengujakan dalam kariernya apabila memenangi empat perlumbaan (utama) dan lima Perlumbaan Sprint yang memberi tekanan kepada Bagnaia.