TAK Akan Menang Kalau Guna Ducati Desmosedici GP24 - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/4/20241 min read


MARC Marquez menamatkan kempen MotoGP musim ini di kedudukan ketiga keseluruhan menggunakan jentera yang setahun lebih tua Ducati Desmosedici GP23 berbanding juara dan naib juara, Jorge Martin dan Pecco Bagnaia.
Menjadi 'rookie' kepada Ducati dan berlumba bersama pasukan satelit pengeluar itu Gresini Ducati, keputusan itu begitupun boleh dianggap cukup cemerlang buat juara dunia lapan kali itu.
Malah Marquez turut mengalahkan dua lagi pelumba yang menggunakan jentera spesifikasi sama dengan Martin dan Bagnaia, Enea Bastianini dan Franco Morbidelli.
Bakal menyertai pasukan utama Ducati Lenovo dan menggunakan jentera spesifikasi terbaharu musim ini, pelumba kelahiran Sepanyol mengakui dia tidak akan menjuarai kempen musim ini sekalipun menggunakan Ducati Desmosedici GP24.
"Saya tidak akan berkata ya, kerana kedua-dua Jorge dan Pecco memperoleh tahun yang hebat," kata Marquez memetik laporan Motorsport.com ketika ditanya mengenai peluangnya bergelar juara dunia jika menggunakan GP24 musim ini.
"Saya tidak akan menang kerana saya tidak berada dalam situasi terbaik untuk bersaing merebut kejuaraan.
"Mungkin saya akan rapat dari sudut mata pada penghujung tahun, ya, tetapi saya tidak akan menang."
Sekalipun menggunakan jentera spesifikasi 'purba', Marquez masih berjaya menjuarai tiga perlumbaan Grand Prix pada musim ini yang turut menamatkan kemarau kemenangannya selepas beberapa tahun.
Malah juara dunia MotoGP enam kali itu turut menggambarkan musim ini adalah 'tempoh terbaik' dalam kariernya selepas mengharungi beberapa musim penuh mengecewakan bersama Honda.
Seperti diketahui, Marquez meninggalkan pasukan yang memberikannya keenam-enam gelaran dunia MotoGP, Repsol Honda pada penghujung 2023 dengan menamatkan kontraknya yang dikatakan cukup lumayan untuk menyertai Gresini.
