TAK Automatik, Ini Syarat-Syarat Nak Tukar Lesen B1, B2 Kepada B Penuh

TERKINI

8/2/20241 min read

KEMENTERIAN Pengangkutan menerusi Menterinya, Anthony Loke hari ini mengumumkan antara perkara yang dinanti-nantikan membabitkan isu penarafan lesen motosikal di Malaysia.

Bermula pada 1 Oktober depan, pemegang lesen kelas B1, B2 Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sudah memegang lesen berkenaan selama 10 tahun dan ke atas layak mohon lesen B penuh.

Disebabkan ia memiliki perkataan 'layak', ini bermakna ia tidak berlaku secara automatik atau sekadar membuat permohonan namun bersyarat.

Dan syarat-syarat yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Pemohon perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan untuk minimum 10 tahun.

  • Pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau apa-apa perkara yang belum selesai bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

  • Pemohon perlu membuat pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri.

  • Pemohon perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500 cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM 160.

  • Pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar, untuk tempoh dua jam.

  • Pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh 'Qualified Training Officer' (QTO) di IM.

  • Pemohon yang gagal latihan amali selama 2 jam itu perlu mengambil semula latihan amali berkenaan dengan bayaran yang sama.

Menurut Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini sedang dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM, menetik laporan BHarian.

Begitupun, program peralihan itu tidak mempunyai tempoh tamat dan akan diteruskan hingga suatu masa yang ditentu dan dimaklumkan kemudian.