'TAK Cukup Nak Kalahkan Marc Marquez'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/16/20251 min read


SEPERTI Marc Marquez, Alex Marquez turut memperoleh kempen yang mengujakan setakat ini dan di Termas de rio Hondo, dia mengulangi kedudukan di Buriram sebagai naib juara Perlumbaan Sprint.
Sekali pun dilihat menjadi satu-satunya pelumba yang memberi cabaran kepada abangnya itu, pelumba Gresini Ducati mendedahkan apa yang dilakukannya masih tidak mencukupi untuk mengalahkan pelumba Ducati Lenovo itu.
Dan kesukaran itu meningkat apabila Alex mendedahkan dia berdepan sedikit masalah dengan jenteranya di awal perlumbaan yang mengakibatkan jurang dengan Marc meningkat.
"Saya bermula dengan baik tetapi berdepan sedikit isu, ia adalah kesilapan saya, saya tidak melakukan brek dengan cukup kuat pada selekoh pertama dan tidak menyahaktifkan 'holeshot'," kata Alex kepada MotoGP.com.
"Jadi saya kekal dengannya sehingga selekoh tiga. Kerana itu, Marc mencipta jurang. Kemudian saya memperoleh pusingan kedua yang amat bagus untuk merapatkan kedudukan dengannya."
Di sebalik masalah yang berlaku, Alex terus memberi tekanan kepada Marc namun persembahan konsisten abangnya itu yang kekal melakukan catatan 1 minit 37 saat sepusingan membuatkannya tidak mampu dicabar.
"Saya amat gembira. Hampir, tetapi tidak cukup untuk menyerangnya," kata Alex. "Kelajuan ketika perlumbaan amat pantas, dengan catatan 37s, sejujurnya saya tidak mempunyai peluang yang jelas untuk memintasnya langsung.
"Saya berpuas hati dengan apa yang kami lakukan dan esok kami akan mempunyai hari yang amat penting. Ia akan menjadi cerita yang lain kerana kami perlu lebih menguruskan tayar belakang, tetapi saya masih yakin."
Dengan prestasi yang ditampilkan, Alex ketika ini ketinggalan 11 mata di belakang abangnya dengan juara dunia dua kali MotoGP yang juga rakan sepasukan Marc, Pecco Bagnaia di kedudukan ketiga selepas turut menamatkan ketiga-tiga perlumbaan di tempat ketiga.
