TAK Dapat Cari Penaja, Juara Asia TKKR Racing Berpotensi Tak Beraksi Di ARRC 2024?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/19/20241 min read
PASUKAN yang menjulang gelaran juara Asia di kelas elit Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2023, OneXOX BMW TKKR berkemungkinan tidak beraksi pada kempen 2024.
Perkembangan kurang menarik itu diperoleh menerusi hantaran di media sosial rasmi pasukan itu, TKKR Racing Team, hari ini.
Tahun lalu, pasukan yang menggunakan jentera BMW M1000RR itu menjuarai gelaran keseluruhan ASB1000 menerusi pelumba Jerman, Markus Reiterberger manakala seorang lagi pelumbanya, Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan kempen di tangga ke-4.
Menyatakan kegagalan untuk mencari penaja sebagai antara punca, apa yang lebih mengecewakan, pasukan itu mendakwa sebuah syarikat minyak tempatan sudah pun bersetuju untuk menaja pasukan itu namun ia datang dengan syarat yang dikatakan tak masuk akal.
"Sehingga hari ini kami masih gagal untuk mendapatkan penaja untuk beraksi di ARRC 2024," tulis pasukan itu di laman TKKR Racing Team.
"Sebuah syarikat minyak tempatan yang telah pun bersetuju untuk menaja kami telah meletakkan syarat yang tak masuk akal seperti menyuruh kami untuk bersetuju untuk menjual minyak mereka dengan jumlah jualan 2 juta ringgit walaupun pada awalnya sudah bersetuju untuk menaja kami.
"Jika dalam waktu terdekat ini kami gagal mencari penganti penaja ini maka perjalanan kami di Asia akan terhenti untuk tahun ini."
Selain itu, TKKR Racing Team turut 'memetik' nama dua entiti, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Sepang Racing Team dalam kenyataannya.
"Mari kita sokong usaha KBS dan Sepang Racing Team untuk sukan permotoran negara pula lepas ini,"
Begitupun, pasukan itu masih belum mengibarkan bendera putih dan menyatakan mereka akan terus berusaha sekalipun masanya semakin suntuk.
"Kami masih berusaha namun rasanya waktu dah hampir time. Maju lah Sukan Permotoran untuk negara," tulisnya lagi.
Selain beraksi dalam kelas utama ASB1000, pasukan itu turut beraksi dalam kelas SS600 dan UB150 di ARRC.
Dan pasukan itu turut beraksi dalam kejuaraan tempatan, Petronas Cub Prix dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan sejak penyertaannya.
Sebagai info, kempen ARRC 2024 yang menyaksikan 6 pusingan dijadual berlangsung akan membuka tirainya di Thailand (Litar Buriram) pada 15 hingga 17 Mac depan.