'TAK Dapat Sepusingan Yang Bersih'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/6/20251 min read

MEMULAKAN Perlumbaan 1 di pusingan 3 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di Aragon, Sepanyol tidak mematahkan semangat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk tampil memberikan cabaran pada hari perlumbaan.

Dalam sesi kelayakan tengah malam semalam, pelumba berusia 17 tahun itu mencatat masa ke-7 terpantas sekali gus memulakan perlumbaan di grid ke-7.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui keserasiannya dengan jentera baik tetapi berdepan kesulitan untuk mencatatkan masa terbaik kerana tidak berjaya mendapatkan pusingan yang 'bersih'.

"Perasaan dengan jentera adalah baik, dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi dengan litar," kata Hakim Danish selepas sesi kelayakan.

"Saya cuba lakukan yang terbaik, tetapi tidak berjaya mendapatkan 'clean lap'. Namun, saya tetap memperoleh petak ke-7 dan akan terus berusaha untuk perlumbaan nanti."

Selepas mencatatkan masa kedua terpantas dalam Sesi Latihan Bebas 1, Hakim Danis sekadar menamatkan Sesi Latihan Bebas 2 di tempat ke-7.

Seperti diketahui, pelumba berbakat negara itu ketika ini sedang memimpin kejuaraan RBMRC 2025 selepas mengungguli dua pusingan terdahulu di Le Mans, Perancis dan Jerez, Sepanyol.

"Saya akan cuba buat yang terbaik dan terus memberikan tekanan sekuat mungkin ketika perlumbaan."