TAK Datang Ke COTA Dengan Sasaran Seperti Musim Lalu - Maverick Vinales
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/25/20251 min read


MAVERICK Vinales menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya menghalang dominasi penuh Ducati untuk menyapu bersih semua kemenangan di MotoGP musim lalu tetapi situasi itu tampak sukar diulang musim ini.
Pada perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat musim lalu, Vinales yang ketika itu menunggang jentera Aprilia berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Austin.
Begitupun, kepulangan semulanya ke COTA dengan menggunakan jentera KTM membuatkan situasi menjadi berbeza sekalipun mengakui amat menggemari litar berkenaan.
"Saya meninggalkan Argentina dengan perasaan yang baik selepas perlumbaan, saya fikir kami sudah menemui asas yang bagus yang lebih sesuai dengan saya, jadi saya tidak sabar untuk meneroka arah ini di Austin," kata Vinales memetik laporan Crash.net.
"Ia adalah litar yang saya amat gemari, amat menuntut secara fizikal, di mana saya memperoleh kejayaan yang menakjubkan pada musim lalu, tetapi kami realistik.
"Kami akan tiba dengan jentera yang baharu untuk saya, yang saya masih sedang cuba sesuaikan diri, jadi kami tidak akan tiba dengan sasaran yang sama.
"Pada Jumaat, adalah penting untuk mencari asas untuk sepanjang minggu, jadi kami boleh bertambah baik daripada kelayakan pada hari berikutnya, sehingga pada hari perlumbaan pada Ahad.
"Saya amat teruja untuk pusingan ini. Ayuh!"
Selepas dua pusingan, Vinales ketika ini menghuni tangga ke-17 carta kedudukan pelumba selepas hanya mengutip empat mata.
