TAK Diabaikan, Modenas Versys-X250 Masuk 'Kedai' Bulan Depan, Harga Dirahsiakan!

TULAR

8/6/20231 min read

SELEPAS 'duo' Modenas Ninja 250 dan Z250 memasuki pasaran tempatan, ramai yang tertanya-tanya bila satu lagi varian (Adventure Touring) yang menggunakan enjin sama iaitu Versys-X250 bakal membuat penampilannya.

Ini berikutan selepas pelancaran Modenas Ninja 250 dan Z250, pengedarnya Emos nampaknya memberi tumpuan kepada model bersesaran lebih tinggi dengan melancarkan beberapa lagi model seperti Vulcan 650, Z900 dan 'trio' Ninja 650, Z650 dan Versys 650.

Ketika ditemui ketika acara Green Mania Kawasaki, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Roslan Roskan mengumumkan sesuatu yang menarik - Modenas Versys-X250 akan membuat penampilannya pada bulan depan.

Seperti model 'saudaranya', Modenas Versys-X250 akan dipasang di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah dan tiba sebagai model 'CKD'.

Mengulas trenkuasa dengan melihat kepada spesifikasi Kawasaki Versys 250 di pasaran luar, Modenas Versys-X250 dijana enjin bersesaran 248 cc, 2 Silinder, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah sekitar 32.5 Hp pada 11,500 rpm dan tork 21 Nm pada 10,000 rpm.

Seperti model 'Adventure touring' lain, Modenas Versys-X250 dijangka akan tampil dengan pelindung terotel, visor angin tinggi, kowl enjin, bar rempuh depan, dua unit kotak sisi, pelindung bar hendal (bahagian hujung) dan tongkat kembar yang datang sebagai standard.

Sekalipun masih berahsia mengenai harganya, pihak Kawasaki Malaysia berkata angkanya cukup kompetitif bukan saja di pasaran tempatan, malah jika dibandingkan dengan pasaran luar.