TIADA istilah mengambil jalan selamat berada dalam fikiran dua penghuni carta teratas kejuaraan MotoGP musim ini, Jorge Martin dan Francesco Bagnaia menuju aksi di Red Bull Ring, minggu ini.
Tiba di Austria dengan hanya perbezaan tiga mata, kedua-dua pelumba Ducati namun berbeza pasukan itu saling memintas kedudukan pendahulu menuju baki 10 pusingan musim 2024.
Selepas penentuan kempen 2023 hanya ditentukan pada perlumbaan terakhir musim di Valencia, kedua-duanya bersetuju yang adalah rerkaku awal untuk berfikir mengenai risiko.
"Ia soalan yang menarik, tetapi bagi saya, saya cuba untuk memberikan 100 peratus jika ia hanya untuk podium atau kedudukan kelima, apa saja yang saya boleh dapat sentiasa bagus," kata pendahulu kejuaraan dari Pramac, Martin.
"Tetapi sudah pasti saya masih belum melihat kepada kejuaraan. Ia benar-benar masih terbuka dengan separuh lagi musim ini perlu dilangsungkan.
"Jika kamu mula untuk berfikir mengenai hanya menamatkannya (persaingan sekarang) atau mungkin kamu mempunyai peluang untuk mendapatkan lebih mata tetapi kamu tidak melakukannya (kerana kamu bimbang), jadi kamu akan kehilangan mata yang mungkin kamu perlukan pada penghujung musim.
"Ia bergantung kepada minggu itu dan juga situasi tetapi jika saya tiba (sebagai pendahulu) pada Ahad, dan saya perlu mengambil risiko, saya akan mengambilnya. Dan jika saya lihat saya tiada peluang, saya akan kekal tenang."
Bagnaia yang merangkul kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Austria musim lalu menjelaskan adalah terlalu awal untuk memikirkan mengenai risiko ketika ini.
"Ketika ini kejuaraan amat-amat sengit jadi ia bukan masa yang tepat untuk berfikir mengenai risiko, ia hanya berkaitan sentiasa memberikan 100 peratus," kata pelumba Ducati Lenovo itu.
"Saya fikir ia akan seperti ini sehingga dua atau tiga minggu terakhir perlumbaan kerana sebagai contoh di Jepun tahun lalu, dengan enam GP masih berbaki, kami menamatkan kedudukan 1 dan 2 dalam perlumbaan hujan yang penuh dengan risiko.
"Jadi saya fikir ia bergantung dengan situasi. Ia bergantung dengan keadaan musim itu. Tetapi ini bukan masa yang betul untuk memperlahankan tekanan, untuk tidak mengambil risiko."
Berbaki 10 pusingan dengan 370 mata maksimum boleh direbut, turut berpeluang pastinya dua lagi pelumba Ducati, Enea Bastianini dan Marc Marquez yang masing-masing ketinggalan 49 dan 62 mata di belakang pendahulu.