TAK Jadi Bersara, Alvaro Bautista Kekal Kemudi Ducati WorldSBK 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20241 min read

ALVARO Bautista menamatkan spekulasi membabitkan persaraannya apabila menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama pasukan 'kilang' Ducati di WorldSBK, Aruba.it Racing Ducati.

Pengumuman itu dibuat menjelang aksi Pusingan 8 WSBK 2024 di Perancis, hujung minggu ini.

Merangkul dua gelaran dunia WorldSBK bersama Ducati pada musim 2022 dan 2023, pelumba kelahiran Sepanyol itu ketika ini mengharungi tempoh sukar sekalipun mengisi tangga ke-3 carta kedudukan pelumba.

Selepas menjuarai gelaran dunia keduanya, Bautista berdepan kecederaan belakang yang mengganggu persiapannya bagi kempen 2024 dan ketika ini ketinggalan 142 mata di belakang pendahulu, Toprak Razgatlioglu dari BMW Motorrad.

"Saya teruja untuk menyambung satu lagi musim bersama Ducati, bersama Aruba dan bersama pasukan menakjubkan ini yang bagaimana keluarga kepada saya," kata Bautista.

"Saya merasa cukup baik baik dari sudut fizikal dan mental, dan saya yakin saya masih boleh menjadi amat kompetitif. Lebih daripada itu, ini adalah hubungan yang menakjubkan kepada semua orang, daripada mekanik ke pengurusan, ke penaja-penaja yang membuatkan saya lebih gembira."

Prinsipal pasukan Aruba.it Racing Ducati, Stefano Cecconi menjelaskan yang keutamaan pasukannya memang untuk meneruskan hubungan dengan Bautista.

"Sudah banyak kali saya katakan yang keutamaan kami adalah untuk meneruskannya dengan Alvaro dan saya tidak sabar untuk mengumumkan pembaharuan kerjasama kami secara rasmi.

"Sesuatu yang menyenangkan untuk bekerja bersamanya, kedua-duanya dari sudut peribadi dan profesional. Saya yakin dengan terus bekerja keras bersama-sama, kami akan dapat mengharungi cabaran baharu yang datang daripada peraturan baharu kepada kami."