TAK Kira Status, Gresini Letak Sasaran 'Selamat' Kepada Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/27/20241 min read
TIBA di grid dengan status juara dunia MotoGP enam kali dan menunggang jentera Ducati, Marc Marquez pantas dilihat sebagai pencabar kejuaraan musim ini tetapi pandangan berbeza disuarakan oleh bos pasukannya Gresini.
Ketika ditanya mengenai harapan yang diletakkan kepada bekas pelumba Repsol Honda itu, pemilik Gresini Racing, Nadia Padovani menjelaskan sasarannya adalah kelompok lima terbaik.
Sedang memburu gelaran dunia kesembilan, Marquez dilihat dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama jentera Ducati dan mencatatkan masa keempat terpantas ujian 'post-musim' di Valencia, tahun lalu.
"Dengan Marc, jangkaan adalah tinggi, tetapi kami tidak menetapkan diri kami dengan sasaran menjuarai gelaran dunia," kata Nadia Padovani kepada Sky.
"Kami mahu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok lima terbaik dari sudut ranking. Sudah pasti, ia lebih kepada keinginan untkm bermula berbanding tekanan.
"Kerana itu kami tidak sabar untuk kembali ke litar dengan pelumba-pelumba ini dan melihat di mana kami berada pada tahun ini."
Nadia dalam pada itu sekali lagi meluahkan perasaan gembiranya untuk mendapatkan adik beradik Marquez ke pasukannya.
"Ia tahun yang menakjubkan. Kami sudah pun menang kerana kami pasukan persendirian yang membawa masuk juara dunia lapan kali. Kami mempunyai 10 gelaran dunia dalam pasukan," katanya.
"Ini gila, kami tidak pernah membayangkan yang kami dapat capai sesuatu yang amat penting dalam karier kami."