'TAK Kisah Jatuh Banyak Kali'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/27/20241 min read

SELEPAS 11 pusingan MotoGP musim ini berlangsung, Marc Marquez menghuni carta teratas pelumba paling banyak terjatuh namun bagi pelumba Gresini Ducati itu, ia bukan statistik yang dibimbangkan.

Selesai aksi di Red Bull Ring, juara dunia lapan kali itu sudah terjatuh sebanyak 16 kali yang meletakkannya menghampiri rekodnya tahun lalu ketika bersama Repsol Honda iaitu 23 kali terjatuh.

Menunggang jentera Ducati GP23 yang dikatakan lebih mudah dikendalikan, pelumba kelahiran Sepanyol itu masih belum dapat mengurangkan jumlah berkenaan dengan jumlah berkenaan ditambah ketika aksi di Austria pada Perlumbaan Sprint.

Ketika ditanya sama ada punca angka berkenaan kekal tinggi adalah disebabkan gaya tunggangan atau proses adaptasi dengan jentera Ducati Desmosedici, Marquez berkata ia bukan semata-mata berpunca daripada kesilapannya.

"Benar pada separuh pertama musim ini, seperti saya cakap di Portimao dan Austin, saya banyak kali jatuh," kata Marquez memetik laporan Motorsport.com.

"Dan ia bukan disebabkan kesilapan saya, tetapi benar pada beberapa perlumbaan terakhir saya mengalami beberapa kemalangan yang saya tidak dapat memahaminya dan kesemuanya mengurangkan sedikit keyakinan saya.

"Tetapi kini kami perlu untuk cuba mencari sekali lagi hadnya dengan cara yang betul.

"Perkara yang positif adalah saya kemalangan ketika latihan. Benar saya kemalangan di Perlumbaan Sprint di Silverstone dan Spielberg (Sprint). Tetapi secara normal pada perlumbaan utama saya sentiasa cuba berada di atas jentera dan ia adalah perkara paling utama.

"Saya mahu kurangkan kemalangan, tetapi ketika ini ia adalah jumlah yang saya tidak begitu kisahkan."

Disebalik jumlah jatuh yang tinggi, Marquez masih mampu memikat pengurusan Ducati Corse untuk memberikannya tiket ke pasukan 'kilang' Ducati Lenovo musim depan dengan keputusan yang diperolehnya setakat ini.

Daripada 11 pusingan, juara dunia MotoGP enam kali itu sudah empat kali berdiri di podium pada perlumbaan utama dan menghuni tangga keempat carta kedudukan pelumba dengan menunggang jentera Ducati GP23.