TAK Lama Lagi - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/22/20241 min read

YAMAHA sekali lagi berdepan tamparan apabila bintangnya Fabio Quartararo mendedahkan tak akan mengambil masa yang lama untuk menentukan masa depannya di MotoGP.

Seperti kebanyakan pelumba lain di grid MotoGP ketika ini, pelumba kelahiran Perancis itu masih belum menandatangani kontrak bagi musim 2025.

Selain kekal bersama pengeluar Jepun itu, juara dunia MotoGP 2021 itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Aprilia dan ketika ditanya mengenai soalan itu, Quartararo menjelaskan ia akan diketahui dalam tempoh terdekat.

"Ia tidak lama lagi. Tarikh yang tepat? Saya tidak tahu," kata Quartararo. "Tetapi saya tidak akan habiskan masa berbulan-bulan untuk membuat keputusan.

"Ia akan menjadi sesuatu yang pantas. Kita akan lihat..."

Sejak menjulang gelaran dunia MotoGP 2021, Yamaha berterusan mengalami kemerosotan dan selepas menamatkan kempen 2022 sebagai naib juara dunia, keputusan pada musim lepas memang mengecewakan iaitu di tangga ke-10.

Pada aksi pembuka tirai 2024 di Qatar, Quartararo terus berdepan kekecewaan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 manakala rakan sepasukannya, Alex Rins di tangga ke-16.

Yamaha dijadual mengharungi sesi ujian persendirian hasil daripada peraturan konsesi MotoGP, 24 jam selepas perlumbaan Grand Prix Portugal berakhir.

Yamaha menggaji dua bekas jurutera Ducati, Massimo Bartolini dan Marco Nicotra dalam usaha memacu kembali kecemerlangan pasukan itu namun tiada perubahan drastik dapat dicapai.