TAK Lama Lagi Tapi Tak Mudah - Gigi Dall’Igna

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/4/20241 min read

DUCATI Corse kehilangan salah seorang bintangnya, Jorge Martin namun sehingga kini, pengeluar Itali itu masih belum dapat memutuskan barisan pelumbanya di Ducati Lenovo bagi musim depan.

Selepas terkeluarnya Martin daripada pemburuan tempat dalam pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bagi musim 2025, hanya dua pelumba kini berpotensi memperoleh posisi itu di antara Marc Marquez dan Enea Bastianini.

Dan seakan terkejut dengan berita itu, Ducati dikatakan akan mengambil langkah untuk mempercepatkan pengumuman berkenaan.

"Tidak mudah untuk memuktamadkan kesemua perjanjian," kata Pengruus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna. "Kami sedang bekerja keras untuk menyelesaikannya.

"Sudah tentu, kami akan membuat pengumuman secepat yang mungkin tetapi saya tidak dapat memberikan tarikh.

Begitupun, kata-kata Dall’Igna ini diperoleh sebelum laporan mengenai perpindahan Martin ke Aprilia disiarkan.

Pada awalnya, Martin dikatakan memiliki kelebihan untuk menyertai Ducati Lenovo namun ia berubah selepas Marquez mengeluarkan kenyataan dia tidak mahu menyertai pasukan satelit Pramac Ducati sekalipun diberikan jentera spesifikasi terbaharu GP25.

Susulan itu, Ducati dikatakan mengubah rancangannya dan memilih Marquez berbanding Martin.

Ketika ditanya mengenai prestasi cemerlang yang ditampilkan Bastianini di Mugello, Dall’Igna yang juga orang penting kebangkitan Ducati di MotoGP mengakui ia tidak mengubah keputusan yang akan dibuat pasukan itu.