TAK Macam RNF, Aprilia Bakal Beri Trackhouse Jentera 'Factory' 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/29/20231 min read

APRILIA akan dipacu pasukan satelit baharu - Trackhouse - bagi menggantikan pasukan milik Malaysia RNF dalam kempen MotoGP musim 2024 dan perkembangan terbaharu, salah seorang pelumba pasukan itu bakal memperoleh jentera 'Factory'.

Pelumba berkenaan adalah pelumba yang boleh dianggap 'Senior' iaitu Miguel Oliveira.

Perkembangan itu diperoleh daripada laporan Speedweek memetik kata-kata daripada Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia sendiri iaitu Massimo Rivola serta bapa Oliveira, Paulo.

Menurut laporan itu, Rivola dan Paulo mengesahkan yang Miguel akan menggunakan jentera spesifikasi yang sama digunakan dua pelumba pasukan 'Factory' pengeluar itu, Maverick Vinales dan Aleix Espargaro.

RNF pada penampilan sulung dan terakhir sebagai pasukan satelit Aprilia diberikan jentera spesifikasi 2022 dalam saingan musim lalu.

Begitupun, bos Trackhouse, Justin Marks ketika pelancaran pasukan itu menjelaskan pihaknya mahu menggunakan jentera spesifikasi utama untuk pelumbanya.

Untuk Miguel, pelumba kelahiran Portugal itu dikatakan akan menggunakan jentera Aprilia RS-GP24 sejak pusingan pertama musim 2024.

Begitupun, Raul Fernandez akan memulakan kempen dengan Aprilia RS-GP23 dengan enjin spesifikasi 2024 sebelum beralih menggunakan jentera RS-GP24 selepas itu, menurut laporan berkenaan.

Difahamkan, Rivola terbuka dengan keputusan itu kerana mengetahui kedua-dua pelumba utamanya, Espargaro dan Vinales turut akan mendapat manfaat daripada data tambahan yang diperoleh daripada Trackhouse.

Miguel Oliveira begitupun akan memulakan kempen 2024 dengan 'langkah kiri' selepas perlu mengharungi penalti 'Long lap' selepas didapati bersalah menyebabkan kemalangan ketika Perlumbaan Sprint di Valencia, bulan lalu.