'TAK Mahu Berfikir Menjadi Pelumba Ducati'

Bintang MotoGP KTM, Pedro Acosta enggan memikirkan prospek perpindahan ke Ducati walaupun dia dan pasukannya pada musim ini sedang bergelut dengan prestasi.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/17/20251 min read

PELUMBA bintang KTM MotoGP, Pedro Acosta menegaskan dia enggan membayangkan dirinya sebagai pelumba yang menunggang jentera Ducati.

Susulan prestasi kurang mengujakan KTM dan masalah yang dihadapi pengeluar motosikal gergasi Austria itu, Acosta yang juga juara dunia dua kali terpalit spekulasi dia akan meninggalkan pasukan itu untuk memburu cita-citanya.

Sekalipun dominasi Ducati di MotoGP sedikit menurun pada musim ini berbanding tahun lalu, pengeluar Itali itu masih sukar dikalahkan dengan KTM yang bergelar pencabar utama mengalami kemerosotan.

Keputusan terbaik Acosta setakat ini adalah di kedudukan ke-4 dan prestasi itu jelas tidak mencukupi buatnya yang menyertai pasukan 'kilang' KTM pada musim ini.

Ketika ditanya sama ada dia serasi dengan Ducati, jawapan Acosta adalah: "Saya tidak tahu. Saya sentiasa berfikir yang manusia perlu menjadi seperti air, tidak kira di mana kamu meletakkan air itu, ia akan mengubah bentuknya.

"Kehidupan sentiasa berubah. Pertama apabila kamu masih bujang, kemudian kamu berkahwin, kemudian kamu hidup dengan seseorang."

Ditanya lagi adalah dia boleh membayangkan dirinya bersama Ducati, jawapan yang diberikan adalah: "Saya lebih suka untuk tidak membayangkan."

Acosta ketika ini memiliki kontrak bersama KTM sehingga penghujung musim 2026 tetapi pelumba kelahiran Sepanyol itu berulang kali menggambarkan kekecewaannya terhadap projek KTM RC16 musim ini.

Di Aragon, Sepanyol, pelumba berusia 21 tahun itu berkata prestasi KTM sebagai: "Bagus, tetapi tidak cukup bagus."

Jika Acosta memilih untuk menyertai Ducati, pasukan yang dijangka akan disertainya adalah VR46 Ducati di mana pelumbanya, Fabio Di Giannantonio memiliki kontrak sehingga penghujung musim 2026 manakala Franco Morbidelli mempunyai kontrak sehingga hujung 2025.