TAK Mahu Buang Masa Lagi - Pedro Acosta

Pedro Acosta memiliki hubungan unik dengan KTM sejak menyertai pengeluar Austria itu pada 2020 sejurus memenangi Red Bull Rookies Cup. Dia kemudian memenangi gelaran Moto3 dan Moto2 sebelum membuat debut MotoGP bersama Tech3 pada 202

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/25/20261 min read

PEDRO Acosta mendedahkan keputusannya untuk meninggalkan KTM bagi menyertai Ducati pada era baharu 850 cc bermula musim 2027 adalah kerana dia 'tidak mahu lagi membuang masa'.

Pelumba Sepanyol berusia 22 tahun itu berkata meskipun mempunyai hubungan akrab dengan KTM, dia terpaksa membuat keputusan itu selepas menyedari dia tidak memiliki jentera terbaik di grid dan mampu mencabar kejuaraan dunia.

Acosta memiliki hubungan unik dengan KTM sejak menyertai pengeluar Austria itu pada 2020 sejurus memenangi Red Bull Rookies Cup. Dia kemudian memenangi gelaran Moto3 dan Moto2 sebelum membuat debut MotoGP bersama Tech3 pada 2024.

Pelumba berbakat besar itu kemudian menamatkan kempen di kedudukan ke-4 selepas menyertai pasukan 'kilang' KTM tahun lalu namun tampak bergelut pada musim ini terutama memasuki pertengahan musim.

"Perkara berlaku dalam sekelip mata. Saya sudah bercakap yang apabila saya menandatangani kontrak 'kilang', satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah jentera untuk menjuarai kejuaraan.

"Jelas yang jentera itu belum saya miliki. Sejujurnya, saya tidak mempunyai masa lagi untuk dibazirkan. Saya mendapat banyak pengalaman di KTM, tetapi saya juga merasakan (Ducati) adalah cabaran yang saya perlukan untuk karier saya ketika ini," kata Acosta.

Walaupun jentera RC16 KTM menunjukkan peningkatan ketara khususnya dalam pengurusan tayar, ia masih ketinggalan di belakang seterunya khususnya Ducati dan Aprilia dari segi kelajuan sepusingan dan rentak perlumbaan.

Ia sekali gus menyaksikan Acosta masih belum merealisasikan impiannya untuk merangkul kemenangan pertama di MotoGP dengan KTM terus kemarau kemenangan sejak 2022.

Penghijrahan Acosta yang bakal bergandingan dengan Marc Marquez di Ducati itu ternyata memberi tamparan hebat buat KTM, apatah lagi pengeluar dari Austria itu dikatakan sudah membina pelan jangka panjang projek MotoGP mereka di sekeliling pelumba berbakat besar itu.