TAK Mahu Letak Tekanan Berlebihan - Adam Norrodin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/23/20241 min read

PELUMBA tunggal negara di pentas WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024, Adam Norrodin enggan meletakkan meletakkan begitu banyak tekanan kepada dirinya yang tiba sebagai 'Rookie' di kancah elit itu.

Memiliki pengalaman luas di arena perlumbaan tempatan dan antarabangsa, bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara di Kejuaraan Motosikal Dunia itu menyertai pasukan Petronas MIE Racing Honda pada musim lalu dan beraksi dalam kelas WorldSSP.

Dan peluang yang diberikan pasukan itu untuk 'naik pangkat' ke kelas tertinggi dan bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia jelas mahu dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Tahun ini saya beralih kepada jentera 1000 cc, yang juga permulaan baharu untuk saya," kata Adam dalam kenyataan dikeluarkan pasukan Petronas MIE Racing Honda.

"Ia adalah cabaran yang mengujakan dan saya akan bekerja amat keras untuk belajar dan bertambah baik, pusingan demi pusingan.

"Saya tidak mahu meletakkan begitu banyak tekanan kepada diri saya kerana ini adalah musim pertama saya dalam kategori yang amat tinggi ini.

"Ada begitu banyak perkara yang perlu dipelajari, termasuk dengan jentera itu sendiri tetapi saya tahu yang pasukan akan melakukan kerja yang baik, dan jika saya boleh memperbaikinya minggu demi minggu, saya akan gembira."

Mengulas aksi Pusingan 1 di Phillip Island, Adam berkata dia amat menggemari litar yang turut digunakan di MotoGP itu lebih-lebih lagi selepas dia berjaya mengutip mata di litar berkenaan.

Dan sebagai pelumba dari Malaysia, Adam juga mengakui tidak kisah beraksi dalam litar basah.

"Cuacanya tidak menentu tetapi kami akan mengharungi apa saja. Saya tidak kisah jika keadaan hujan sebenarnya," kata Adam yang turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Petronas atas sokongan kepadanya.