TAK Mahu Qabil Irfan 'Diangkat' Terlalu Tinggi - Azlan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/29/20231 min read
KEJAYAAN Qabil Irfan Azlan yang merangkul gelaran dunia Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2023 160 cc di Sepanyol memang cukup membanggakan namun perjalanan pelumba muda berbakat besar itu masih jauh.
Justeru, bapa Qabil, Azlan Abdul Rahman tidak mahu kejayaan pelumba berusia 11 tahun itu diangkat terlalu tinggi sehingga ke tahap yang boleh mengganggu fokusnya.
Berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan Qabil, Azlan berkata kejayaan yang diperoleh anaknya itu adalah untuk rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan dan dorongan.
"Memang kita bangga dengan kejayaan dia (Qabil) tetapi bagi saya jangan bagi pujian yang terlalu banyak, kata Azlan yang mahu Qabil mengekalkan prestasinya seperti biasa.
"Saya tak nak anak saya terlalu dipuji kerana itu boleh membahayakan diri dia, itu pandangan saya."
Beraksi pada penampilan keduanya di pentas Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160 cc di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Qabil tampil cemerlang dengan mengungguli ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan.
Lebih menakjubkan, pelumba kelahiran Terengganu itu nampak seperti berada di satu tahap lebih tinggi berbanding pencabarnya yang lain yang datang dari seluruh dunia termasuk Sepanyol, Itali dan Jepun.
Mengulas mengenai perjalanan karier anaknya, Azlan mengesahkan Qabil akan beraksi dalam kelas lebih tinggi 190 cc musim depan.
Dan menurutnya, dia menyerahkan tugas berkaitan pengurusan termasuk masa depan dan karier anaknya kepada Pengurus ZK Racing iaitu Zulfahmi Khairuddin yang juga pengurus Program Siri MiniGP Malaysia.
"Sebagai bapa, saya akan cuba terbaik untuk bimbing dia terutama dari sudut latihan tetapi perkara ini tak akan terjadi kalau tanpa ZK Racing selain beberapa lagi pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu dan rakyat Malaysia yang banyak membantu," kata Azlan.