TAK Mahu Yamaha, Tapi Honda
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/8/20241 min read
ALEIX Espargaro dilaporkan menolak tawaran Yamaha untuk menjadi pelumba ujian pengeluar Jepun itu sejurus kempen MotoGP musim 2024 berakhir sebaliknya memilih Honda.
Pelumba Aprlia Racing itu mengesahkan persaraannya daripada kancah perlumbaan MotoGP pada penghujung musim ini.
Begitupun, Espargaro dikatakan bersedia untuk meneruskan kariernya di kejuaraan elit motosikal dunia itu namun dengan peranan berbeza.
Memetik laporan Marca, Honda dikatakan berjaya mendapatkan khidmat pelumba kelahiran Sepanyol itu disebalik minat mendalam yang ditunjukkan Yamaha.
Malah Yamaha dikatakan 'paling berminat' terhadap Espargaro namun angka yang diumumkan oleh ejennya, Albert Valera dilaporkan cukup tinggi yang menyaksikan perbincangan itu terbantut, menurut Speedweek.
Untuk pasukan yang sedang bergelut, khidmat pelumba yang masih dianggap relevan dan mampu bersaing di peringkat tertinggi seperti Espargaro adalah cukup penting.
Espargaro sebelum ini memenangi Perlumbaan Sprint di GP Catalan 2024, dan kejayaan itu diperoleh kurang 48 jam dia mengumumkan persaraannya.
Di usia 34 tahun, Espargaro adalah pelumba paling tua di grid MotoGP ketika ini dan menjadi antara watak penting kebangkitan Aprilia untuk menghalang dominasi Ducati.
Tempat Espargaro musim depan sudah pun diisi rakan baiknya, Jorge Martin musim depan.
Tetapi seorang lagi pelumba pasukan itu, Maverick Vinales masih belum menandatangani kontrak lanjutan dengan kontraknya dijadual berakhir pada penghujung musim 2024.
Honda ketika ini boleh dikatakan berada di posisi terendah dalam kempen MotoGP selepas pemergian Marc Marquez dengan pengganti juara dunia enam kali itu, Luca Marini menjadi satu-satunya pelumba sepenuh masa di MotoGP yang masih belum mengutip sebarang mata.
Espargaro sebelum ini turut menyatakan tidak mahu mengisi posisi sebagai pelumba ujian di Aprilia dengan tugas itu kekal menjadi milik Lorenzo Savadori.