JORGE Martin berkata dia boleh menerima tanggungjawab mengetuai pasukan Aprilia di MotoGP.
Begitupun juara dunia MotoGP 2024 itu mengakui tidak mampu untuk menjadi 'kapten' pasukan itu seperti dilakukan rakan baiknya, Aleix Espargaro.
Espargaro menghabiskan lapan tahun terakhir dalam kariernya sebagai pelumba MotoGP di Aprilia dan membantu pasukan itu daripada pasukan 'biasa-biasa' kepada pasukan yang mampu menjulang kemenangan.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu yang mendapat julukan 'kapten' di Aprilia membuat keputusan untuk bersara sebagai pelumba sepenuh masa sejurus kempen 2024 berakhir dan menjalankan tugas sebagai pelumba ujian Honda.
Martin yang menjulang gelaran dunia bersama Pramac Ducati membuat keputusan menyertai Aprilia pada pertengahan musim lalu selepas tempatnya di Ducati Lenovo 'terlepas' kepada pelumba lain.
"Saya fikir saya tidak akan mampu untuk menjadi 'kapten' seperti Aleix kerana dia sudah berada di sini selama sembilan tahun, dia membawa Aprilia daripada tiada apa-apa kepada menjuarai perlumbaan dan bersaing merebut gelaran dunia," kata Martin memetik laporan AS.
"Tetapi saya boleh memikul tanggungjawab. Saya merasa bertanggungjawab untuk menjadi ketua kepada projek ini dan saya akan melakukan apa yang saya perlu lakukan, atau apa yang mampu saya buat, untuk berjaya membawa jentera ini ke tahap tertinggi."
Dalam pada itu, Martin turut percaya Espargaro akan kekal di Aprilia untuk sekurang-kurangnya setahun lagi jika dia membuat keputusan menyertai pengeluar Itali itu lebih awal.
"Jika saya memutuskan sebelum saya tiba ke sini, Aleix sudah tentu akan melanjutkan kontraknya sekurang-kurangnya setahun," kata Martin. "Tetapi ini dipanggil kehidupan."