TAK Menang, Tapi Marc Marquez Masih Tersenyum
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/28/20251 min read


MARC Marquez mengakui dia masih mampu tersenyum disebalik apa yang berlaku kepadanya pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Sepanyol 2025 di Jerez.
Juara dunia lapan kali itu yang juga pelumba Ducati Lenovo itu sekali lagi dipalit malang apabila terjatuh ketika berada di posisi ketiga.
Sekali pun berjaya bangkit dan meneruskan perlumbaan, pelumba kelahiran Sepanyol itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 bersama jentera yang tidak sempurna.
Dan pemenang lima Perlumbaan Sprint berturut-turut pada musim ini itu kembali ke garaj pasukan dengan senyumam apabila turut meraikan kemenangan sulung yang diraih adiknya, Alex Marquez di MotoGP.
"Ia satu-satunya perkara pada hari ini yang membuatkan saya senyum dan saya amat gembira dan amat berbangga dengannya, kerana dia seorang yang berusaha amat keras untuk menjuarai perlumbaan di MotoGP," kata Marquez.
"Ia adalah salah satu daripada sasaran untuk kariernya. Dia memenangi perlumbaan, dia mendahului kejuaraan sekali lagi.
"Dia menunggang dengan cara yang menakjubkan. jadi saya amat berbangga dengannya."
Keputusan turut menyaksikan Marc terpaksa melepaskan kedudukan pendahulu dalam carta kedudukan pelumba kepada Alex dengan perbezaan satu mata.
