TAK Menyesal Sertai Yamaha - Jonathan Rea

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/11/20241 min read

JONATHAN Rea meninggalkan Kawasaki sebagai pemenang tempat ketiga keseluruhan WorldSBK musim 2023 untuk menyertai Yamaha dan selepas empat pusingan, tiada 'magis' berjaya dijelmakan juara dunia enam kali itu setakat ini.

Menuju Pusingan 5 WSBK di laman sendiri Donington Park, United Kingdom hujung minggu ini, berdasarkan prestasi semasa, hadiah kemenangan di depan penonton sendiri tampak sukar dilaksanakan pelumba berusia 37 tahun itu.

Selepas empat pusingan, Rea ketika ini menghuni tangga ke-14 dengan hanya 31 mata berjaya dikumpul, jauh daripada 179 mata yang dimiliki pendahulu kejuaraan, Toprak Razgatlioglu.

Ketika ditanya sama ada timbul perasaan menyesal menyertai Yamaha tatkala pelumba terbaik Kawasaki, Alex Lowes mengisi kedudukan lima terbaik dengan mengumpul 124 mata, Rea berkata dia tidak berfikir seperti itu.

"Sudah tentu, saya tidak menyesali sebarang keputusan untuk datang ke Yamaha," kata Rea memetik laporan WorldSBK.com.

"Saya fikir saya datang (ke Yamaha) adalah untuk mencabar cabaran baharu dalam karier saya, dan saya dengan jelas memperolehnya.

"Kita bercakap dalam bahasa yang mudah difahami, 'Kami semntiasa mencari cahaya di hujung terowong' ketika tempoh sukar. Saya boleh melihat cahayanya, tetapi saya masih jauh daripada cahaya itu.

"Saya tahu yang kami akan cuba untuk mencari jalan. Sebagai pelumba, kamu mahukannya esok. Tetapi kematangan memberitahu saya untuk menunggang dengan cara seperti ini dan ia akan tiba."

Rea dalam pada itu mengakui kemalangan teruk pada pusingan pertama di Australia merencatkan 'perjalanannya' bersama Yamaha.

"Malangnya, permulaan di Phillip Island dengan kemalangan yang besar ketika ujian dan turut diakhiri dengan kemalangan. Ia menyedut banyak tenaga. Kecederaan yang agak teruk," katanya.

"Saya tidak banyak bercakap mengenainya tetapi ia membabitkan kaki dan bahu. Ia memerlukan sedikit masa untuk pulih secara fizikal dan mental," katanya.

Mengulas lanjut, Rea mengakui dia 'masih jauh' untuk meraih kemenangan ke-120 kariernya di WorldSBK selain menggemari Yamaha M1.

"Impian saya adalah memenangi perlumbaan. Tetapi saya merasakan ia agak jauh ketika ini, tetapi selangkah demi selangkah, kami semakin hampir," katanya.