TAK Mudah Honda Nak Bangkit

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/31/20241 min read

HONDA dalam usahanya untuk bangkit daripada kemurungan prestasi di MotoGP membawa masuk beberapa 'pakar' termasuk daripada pasukan lawan antaranya Pengarah Teknikal, Romano Albesiano.

Begitupun menurut Pengarah Urusan Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, kehadiran Albesiano dari Aprilia tidak bermakna kebangkitan Honda boleh berlaku 'sekelip mata'.

Honda ketika ini sedang mengharungi tempoh terburuknya di MotoGP pada era moden dengan kali terakhir Honda RC213V meraih kemenangan adalah pada musim 2023 di Amerika Syarikat menerusi Alex Rins.

Lebih menyakitkan, pengeluar Jepun itu tidak meraih satu pun kedudukan podium pada musim ini dan hanya mengumpul keseluruhan 75 mata untuk mengisi tangga tercorot kategori pengeluar.

"Romano mempunyai cabaran yang besar," kata Dall’Igna dalam satu temuramah bersama AMCN.

"Dari sudut kewangan dia jelas mempunyai banyak kemungkinan, tetapi dia juga perlu berdepan dengan mentaliti dan falsafah kerja yang amat berbeza.

"Saya tidak fikir ia akan mudah. Ia memerlukan masa untuk membuat struktur dan membuatkannya berfungsi. Kamu perlu mempunyai individu yang tepat untuk mengekstrak idea, konsep, jalan penyelesaian baharu dan ia tidak berlaku dalam semalaman."

Selain Albesiano yang menjadi antara watak penting menjadikan Aprilia sebagai pasukan yang mampu memberi cabaran, Honda turut membawa masuk beberapa lagi 'tenaga' baharu antaranya Aleix Espargaro sebagai pelumba ujian.

Honda pada musim 2025 akan kekal dengan Joan Mir dan Luca Marini di pasukan 'kilang' manakala Johann Zarco akan bergandingan dengan 'rookie' Somkiat Chantra di LCR.

Selain Espargaro, bekas pelumbanya Takaaki Nakagami turut dilantik sebagai pelumba ujian dengan bekas Pengarah Teknikal, Ken Kawauchi kini mengetuai pasukan ujian.