'TAK Mudah Nak 'Tambah baik' Ducati GP24 Yang Dah Menang 19 Perlumbaan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/8/20251 min read


MARC Marquez sekali lagi 'terpaksa' melihat adiknya, Alex Marquez mencetak nama sebagai pelumba terpantas ujian pra-musim di Sepang dan menariknya menggunakan jentera Ducati GP24.
Juara dunia lapan kali, Marquez menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bermula musim ini dan tugasnya di Malaysia adalah untuk membangunkan Ducati GP25 yang lebih baik daripada musim lalu.
Akan bersaing dengan jentara yang sudah pun terbukti menjuarai gelaran dunia, pelumba kelahiran Sepanyol itu menjelaskan mereka perlu benar-benar tepat pada ujian kali ini terutama membabitkan enjin.
Ini kerana Ducati menjadi antara pasukan yang berdepan pembekuan pembangunan enjin selama dua tahun sejurus kempen 2025 bermula dan ia mencetuskan dilema kepada Marquez dan Ducati Corse.
"Disebabkan oleh alasan itu masalah yang baik kepada Ducati adalah kami bermula daripada asas yang memenangi 19 daripada 20 perlumbaan," kata Marquez.
"Jadi ini adalah sesuatu yang sukar untuk ditambah baik dan ia adalah sebab mengapa kamu perlu yakin yang ia lebih baik, kerana kamu tahun dengan GP24 kamu 100 peratus boleh bersaing merebut kejuaraan.
"Jadi kerana itu kami mencuba begitu banyak perkara kerana ia bukan saja membabitkan enjin, ia bukan saja membabitkan aero.
"Ada banyak perkara yang kecil dan pada hari ini kami berusaha kepada perincian yang kecil dan cuba untuk memahami komponen apa yang lebih baik dan komponen apa lebih buruk."
Alex dari Gresini Ducati mencatatkan masa terpantas 1 minit 56.493 saat (s) untuk menjadi salah seorang daripada empat pelumba yang melakukan catatan bawah 1:57s pada ujian di Malaysia.
Mencatatkan masa kedua terpantas adalah rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia hanya 0.007s kurang pantas berbanding Alex diikuti pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo yang melakukan 1:56.724s.
Pelumba keempat melakukan catatan bawah 1:57s adalah pelumba VR46 Ducati, Franco-Morbidelli yang turut menggunakan jentera Ducati GP24.
