TAK Mudah Yamaha Nak Ubah Mentaliti - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/1/20241 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo positif dengan perubahan yang dibuat oleh pengeluar Jepun itu dalam usaha mereka kembali bangkit menjadi pencabar kejuaraan di MotoGP.

Tanpa sebarang podium tahun lalu, pelumba kelahiran Perancis itu sekali lagi menamatkan kempen di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mengumpul 172 mata, jauh ketinggalan berbanding juara Jorge Martin yang memperoleh 467 mata.

Quartararo hampir menaiki podium pada Perlumbaan Sprint di Jerez, Sepanyol tetapi dinafikan susulan penalti peraturan membabitkan tekanan tayar dengan keputusan terbaiknya dalam perlumbaan Grand Prix adalah di Sepang.

Yamaha melakukan pelbagai perubahan dalam garaj pasukan itu termasuk membawa masuk ramai jurutera baharu, kedua-duanya dari Jepun dan Itali dan ia dapat dilihat ketika ujian di Barcelona, baru-baru ini dan juara dunia 2021 itu menyukainya.

"Cara untuk kami adalah untuk menambahbaik jentera, dan cara kerja juga sudah bertambah baik sejak beberapa tahun," kata Quartararo memetik laporan Crash.net.

"Tidak mudah untuk Yamaha mengubah sepenuhnya mentaliti mereka. Jadi ia benar-benar memerlukan masa yang lama.

"Kemudian penambahbaikkan, orang-orang baharu, pasukan baharu, banyak perkara adalah baharu. Saya fikir semua orang juga melihat Augusto Fernandez dalam garaj bersama kami.

"Jadi saya fikir yang mereka sudah banyak berubah. Pasukan juga berubah. Langkah demi langkah, kami akan kembali. Dan sudah tentu saya mahu ia berlaku esok, tetapi ia memerlukan masa dan projek ini bertambah baik.

"Sudah tentu ada kekecewaan kerana kami tidak berjaya mendapatkan sebarang podium, atau sebarang perlumbaan yang benar-benar hebat.

"Tetapi saya fikir agak penting untuk kami melihat kembali dengan perasaan yang pada empat perlumbaan terakhir kami melakukan penambahbaikkan," kata Quartararo.