'TAK Mungkin Gigi Dall’Igna Lepaskan Peluang Nak Dapatkan Marc Marquez'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/23/20241 min read

BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna didakwa tidak mahu terlepas khidmat Marc Marquez musim depan, kata bekas pelumba MotoGP Itali, Danilo Petrucci.

Marquez dari Gresini Racing dan Jorge Martin dari Pramac Racing ketika ini menjadi dua calon untuk mengisi satu lagi kekosongan di Ducati Lenovo musim depan, bersama penyandangnya ketika ini, Enea Bastianini.

Pernah bekerjasama bersama Ducati dan Dall’Igna di MotoGP sebelum ini, Petrucci yang ketika ini beraksi di pentas WorldSBK memiliki teorinya tersendiri berdasarkan pengalamannya bersama bos Ducati itu.

"Saya tidak mendapat sebarang maklumat dalaman, tetapi mengikut firasat saya ia adalah Marquez," kata Petrucci kepada GPOne.

"Saya tidak tahu jika ada isu yang membabitkan penajaan minuman bertenaga, tetapi apa yang saya faham, saya merasa kasihan terhadap Enea, dan Dall’Igna tidak akan melepaskan pelumba seperti Marquez.

“Dia membawa Ducati mencapai kemenangan, kerana beliau adalah seorang yang kejam dalam membuat pertimbangan, seperti kejamnya dia dalam usaha untuk mencapai matlamatnya," kata Petrucci.

"Dia boleh menjadi seorang yang baik atau tak menyenangkan, tetapi dia menjadikan Ducati sebagai pasukan yang menjadi rujukan di MotoGP.

"Mengetahui caranya berfikir, saya fikir Gigi ingin mengetahui bagaimana pelumba seperti Marquez boleh lakukan dengan jenteranya."

Martin ketika ini menghuni tangga teratas carta pelumba menuju Grand Prix Catalunya hujung minggu ini dengan penyandang juara, Francesco Bagnaia kedua dan Bastianini ketiga.

Marquez pula menghuni tangga keempat dan masih memburu kemenangan pertamanya bersama Ducati.

Ducati dikatakan memiliki tarikh akhir untuk menyenaraikan barisan pelumba Ducati Lenovo bagi musim 2025 iaitu ketika Grand Prix Itali di Mugello pada hujung bulan ini.