TAK Mustahil Qabil Raih Kemenangan - Zulfahmi Khairuddin
Keyakinan itu disuarakan Zulfahmi susulan kejayaan pelumba pasukan SIC GRYD Racing itu yang berjaya menamatkan penantian menaiki podium pada Perlumbaan 2, Pusingan 3 di Litar Jerez, Sepanyol awal bulan ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/22/20261 min read


PENGURUS SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin optimis pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan berupaya meneruskan momentum cemerlangnya malah berpotensi melakar kemenangan pada Pusingan 4 Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Litar Magny-Cours, Perancis hujung minggu ini.
Keyakinan itu disuarakan Zulfahmi susulan kejayaan pelumba pasukan SIC GRYD Racing itu yang berjaya menamatkan penantian menaiki podium pada Perlumbaan 2, Pusingan 3 di Litar Jerez, Sepanyol awal bulan ini.
Begitupun, Zulfahmi yang akan berada bersama Qabil di Perancis mengakui kempen kali ini bakal menghidangkan ujian berbeza buat Qabil memandangkan ia adalah pengalaman pertamanya beraksi di litar berkenaan.
"Pusingan di Magny-Cours ini bakal menjadi satu lagi cabaran baharu buat Qabil kerana ini adalah kali pertama dia berlumba di litar ini.
"Saya yakin pasukan mampu melakukan beberapa penambahbaikan terhadap jentera bagi memastikan dia mampu memberikan aksi yang lebih kompetitif sepanjang hujung minggu ini," katanya.
Mengulas lanjut, bekas pelumba Moto3 dan Moto2 itu menjelaskan, jadual perlumbaan pusingan ini agak padat berikutan ketiadaan sesi latihan pada hari Khamis menuntut Qabil bertindak pantas mencari keserasian.
"Disebabkan kekangan masa itu, Qabil perlu memulakan saingan dengan baik sebaik sahaja turun ke litar pada hari Jumaat. Dia wajib menyesuaikan diri dengan karakter litar secepat mungkin.
"Namun, jika segala perancangan berjalan lancar dan kita berjaya mendapatkan pelarasan jentera yang tepat, saya percaya Qabil mempunyai kemampuan untuk bersaing dalam kelompok hadapan. Ia bukan sahaja untuk memburu podium, malah tidak mustahil untuk mencabar kemenangan," katanya.

