TAK Nak Tunggu EICMA, Moto Morini Buat Tayang Perdana Calibro 650 (2024)
10/24/20231 min read
DIJADUAL membuat penampilan 'penuh' di EICMA 2023 bulan depan, Moto Morini seperti tak sabar dengan menayangkan model terbaharunya Moto Morini Calibro 650 (2024), baru-baru ini.
Seperti diketahui, Moto Morini adalah jenama Itali yang ketika ini dimiliki syarikat China.
Menerusi pemilikan baharu itu, syarikat itu dijadual akan terus mengembangkan lagi penawarannya di pasaran selain dua model sedia ada, Moto Morini X-Cape 650 dan Seiemmezzo 650.
Tidak seperti X-Cape dan Seiemmezzo 650, Moto Morini Calibro 650 (2024) adalah model terbaharu Moto Morini dalam segmen 'Easy rider' atau 'Kruiser'.
Dan menurut laporan media antarabangsa, kehadiran Moto Morini Calibro 650 (2024) akan kembali membawa jenama itu dalam dunia 'Kustom'.
Sekalipun dimiliki syarikat China, apa yang menarik adalah ibu pejabat syarikat itu masih ditempatkan di Itali dengan barisan model jenama itu turut direka di European Style Center yang berada di Trivolzio.
Dari sudut trenkuasa, Moto Morini Calibro 650 (2024) akan dijana enjin 650 cc, Parallel-Twin yang sama digunakan kepada X-Cape 650 dan Seiemmezzo 650 namun mendapat talaan berbeza sesuai dengan segmen 'Kruiser'.
Sekalipun beberapa perincian masih belum didedahkan setakat ini, antara maklumat yang diperoleh mengenai Moto Morini Calibro 650 (2024) adalah ia menggunakan kerangka jenis ‘double cradle steel’, penggunaan rim 18 inci (depan), 16 inci (belakang), tinggi pelana 720 mm dan sistem lampu LED penuh.
Menurut laporan, Moto Morini berkata syarikat itu merancang untuk menghasilkan Calibro untuk dua pengkelasan lesen di Eropah.
Selain Moto Morini Calibro 650 (2024), syarikat itu turut dijadual melancarkan 'abang' kepada X-Cape 650 iaitu X-Cape 1200 ketika di EICMA nanti.
Kepada yang tidak tahu, Moto Morini sudah pun 'menjejakkan kaki' ke pasaran Malaysia menerusi MForce bersama penawaran sulung mereka Moto Morini X-Cape 650.