TAK Pasti Dapat Habiskan Perlumbaan Di Losail - Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/8/20251 min read


PELUMBA Aprilia Racing, Jorge Martin sah akan beraksi di Grand Prix (GP) Qatar, hujung minggu ini tetapi mengakui tidak pasti mampu menamatkan perlumbaan.
Penyandang juara dunia MotoGP itu sudah tersisih sejak beberapa bulan lalu dan terlepas tiga pusingan perlumbaan selepas berdepan kecederaan teruk ketika ujian pra-musim di Malaysia diikuti kemalangan seminggu sebelum GP Thailand.
Sekalipun sudah melepasi ujian perubatan di Sepanyol, yang mengesahkan kehadirannya di Losail, Martin masih perlu melepasi ujian kecergasan yang ditetapkan oleh pasukan perubatan MotoGP di Qatar terlebih dulu.
Tetapi selepas hanya berjaya melengkapkan 90 pusingan bersama jentera Aprilia RS-GP25 sejak November lalu, pelumba kelahiran Sepanyol itu berkata berjaya menamatkan perlumbaan turut dianggap sebagai 'kemenangan'.
"Keinginan saya untuk kembali ke litar cukup besar dan saya gembira untuk sekurang-kurangnya cuba untuk berlumba di Qatar," kata Martin memetik laporan Crash.net.
"Sasarannya adalah untuk membina sedikit keyakinan bersama RS-GP25 dan untuk memulakannya dengan beberapa pusingan.
"Saya tidak tahu bagaimana keadaan fizikal saya akan berada, tetapi ia sudah pasti tidak akan 100 peratus. Kami akan cuba melakukan yang terbaik dan terus meningkat.
"Secara fizikal, saya malah tidak pasti saya akan mampu untuk menamatkan perlumbaan, tetapi jika kami boleh melakukannya, ia akan menjadi seperti kemenangan kerana ia bermakna saya mula untuk pulih.
"Kami perlu mengambil satu langkah pada satu-satu masa untuk cuba dan mendapatkan semula tahap saya seperti normal secepat yang mungkin."
Sekalipun tidak pernah memenangi perlumbaan MotoGP di Qatar, Martin berjaya meraih beberapa keputusan baik di litar berkenaan termasuk memenangi Perlumbaan Sprint musim lalu.
