TAK Patut Diteruskan - Pedro Acosta
Pedro Acosta mengkritik penganjur perlumbaan European STK yang tetap meneruskan perlumbaan selepas tragedi yang menimpa pelumba Sepanyol, Borja Gomez di Perancis
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/11/20251 min read


PELUMBA bintang Red Bull KTM, Pedro Acosta jelas berang dan melabel penganjur kejuaraan European STK sebagai biadap kerana meneruskan perlumbaan di sebalik tragedi yang menimpa salah seorang pelumba di kejuaraan itu, Borja Gomez pada minggu lalu.
Acosta berkata, pihak penganjur sepatutnya membatalkan perlumbaan itu bagi menghormati Gomez yang maut akibat kemalangan ketika sesi latihan di Magny-Cours, Perancis.
Gomez, 20, adalah bekas pelumba yang pernah beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2.
"Perkara paling tidak patut berlaku yang pernah saya saksikan," kata Acosta ketika sidang media rasmi MotoGP menjelang Grand Prix Jerman 2025. "Saya mengenalinya (Borja) sejak kami masih kecil, kerana kami tinggal lebih kurang 30 minit daripada satu sama lain.
"Sesuatu yang menyakitkan apabila kamu menerima berita seperti ini, dan saya fikir apa yang kejuaraan lakukan iaitu meneruskan perlumbaan pada minggu itu adalah perkara paling tidak hormat pernah saya lihat dalam hidup saya.
"Saya fikir mereka yang (mengelolakan) kejuaraan ini dan menguruskan perkara seperti ini perlu berfikir, jika ia berlaku kepada salah seorang daripada anak mereka, apa yang mereka patut lakukan?
"Kadang kala kita bercakap yang perlumbaan perlu diteruskan, tetapi kadang kalah kehidupan lebih mahal berbanding perlumbaan dalam kejuaraan."
